Gagal tuntut dalam 30 hari, kenderaan ditunda DBKK boleh dilucut hak dan dilelong

KOTA KINABALU: Pemilik kenderaan yang ditunda Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) diberi tempoh 30 hari untuk menjelaskan bayaran dan menuntut semula kenderaan masing-masing sebelum ia boleh dilucut hak dan dilelong.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, setiap kenderaan yang ditunda dikenakan kompaun kesalahan sebanyak RM100, selain caj penyimpanan RM150 bagi setiap malam.

Katanya, caj penyimpanan akan terus bertambah sebanyak RM150 bagi setiap malam sekiranya kenderaan masih berada di depoh DBKK.

“RM100 itu adalah kompaun kesalahan, kemudian RM150 untuk caj simpan satu malam. Kalau dua malam, caj penyimpanan menjadi RM300.

“Kalau tidak bermalam, RM150 itu tidak dikenakan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi JKKK di sini, hari ini.

Sabin berkata, DBKK bagaimanapun masih memberi ruang kepada pemilik yang menghadapi kesukaran membayar untuk berbincang dan mendapatkan penyesuaian tertentu bagi menyelesaikan urusan tuntutan.

Bagaimanapun, beliau berkata, tindakan undang-undang juga boleh diambil sekiranya bayaran gagal diselesaikan.

“Kalau tidak dapat bayar, kita akan cuba sesuaikan keadaan mereka sehingga mereka boleh membayar. Tetapi kita juga boleh berpotensi bawa ke mahkamah,”ujarnya.

Menurutnya, kenderaan yang tidak dituntut selepas tempoh 30 hari akan melalui proses lucut hak sebelum dilelong.

“30 hari kita akan simpan dan selepas itu kita akan buat proses lucut hak. Kalau mereka tidak ambil, kita lelong,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Sabin memaklumkan sebanyak 52 kenderaan telah melalui proses lucut hak, manakala 1,385 kenderaan ditunda DBKK sejak April hingga semalam.

Beliau berkata, jumlah itu menunjukkan masih terdapat pengguna yang melakukan kesalahan parkir, termasuk meletakkan kenderaan tanpa membuat bayaran.

“Ramai memang orang buat kesalahan ini. Orang tidak mahu bayar parking, mereka mahu percuma semua,” jelasnya.

Sabin menegaskan, DBKK tidak terus mengambil tindakan menunda sebaik sahaja kesalahan dikesan.

Sebaliknya, katanya, pemilik terlebih dahulu diberi peringatan melalui siren dan pengumuman pembesar suara supaya mengalihkan kenderaan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pengguna supaya memanfaatkan kemudahan parkir yang disediakan bagi mengelakkan kenderaan dikenakan tindakan penguatkuasaan.

Menurutnya, Kota Kinabalu mempunyai kira-kira 20,000 petak parkir, termasuk sekitar 4,000 petak di kawasan luar bangunan.

“Kami minta mereka gunakan lot parkir yang ada kerana kemudahan itu mencukupi, malah lebih daripada mencukupi,” katanya.