KOTA KINABALU: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli wajar meletakkan jawatan sekiranya penelitian pihak berkuasa agama mengesahkan dakwaan penglibatan atau sokongannya terhadap fahaman New Age Movement (NAM).
Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan berkata, jika dakwaan berkenaan terbukti, peletakan jawatan adalah langkah yang wajar diambil memandangkan jawatan itu berkait secara langsung dengan portfolio hal ehwal agama.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai berkata, sekiranya Marhamah enggan berbuat demikian, Perdana Menteri sewajarnya mengambil tindakan menyingkirkannya daripada jawatan berkenaan.
“Isu yang mengaitkan beliau dengan fahaman berkenaan bukan perkara remeh, apatah lagi apabila ia melibatkan seorang pemimpin yang memegang amanah dalam portfolio hal ehwal agama.
“Jawatan tersebut menuntut komitmen yang jelas dalam memelihara kesucian akidah serta keyakinan umat Islam terhadap kepimpinan agama negara,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.
Aliakbar berkata, PAS Sabah mengambil maklum penafian dan penjelasan yang dikemukakan berhubung isu berkenaan, namun penelitian menyeluruh berasaskan bukti yang sahih dan disiplin ilmu perlu dilaksanakan pihak berkuasa agama.
Menurutnya, perkara itu penting bagi memastikan kedudukan sebenar isu berkenaan dapat dipastikan sebelum sebarang tindakan dibuat.
“PAS Sabah tidak berhasrat menjadikan isu ini medan fitnah atau menghukum sesiapa berdasarkan persepsi.
“Namun, ketegasan mempertahankan akidah mesti disertai tindakan yang jelas apabila sesuatu pelanggaran dibuktikan. Penjelasan mesti diberikan, penelitian mesti diselesaikan dan tanggungjawab mesti dipikul,” katanya.
Dalam pada itu, Aliakbar berkata, perkembangan era digital dan kecerdasan buatan (AI) menyebabkan pelbagai fahaman kerohanian mudah tersebar dengan berselindung di sebalik istilah pembangunan diri, motivasi dan pencarian ketenangan jiwa.
Katanya, generasi muda khususnya di Sabah perlu dilindungi daripada kekeliruan yang boleh menggugat pegangan akidah mereka.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri, pihak berkuasa agama, institusi pendidikan, masjid dan ibu bapa memperkukuh pendidikan akidah serta membimbing generasi muda supaya tidak mudah terpengaruh dengan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam.
Aliakbar turut menegaskan pegangan Ahli Sunah Waljamaah yang telah diwartakan di Sabah perlu terus dipertahankan sebagai panduan umat Islam.
Beliau berkata, pegangan berkenaan merangkumi akidah dan tauhid berdasarkan Imam Abu Hassan al-Asy‘ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi, fikah dan syariah berdasarkan Mazhab Syafii selain meraikan mazhab lain yang muktabar, serta tasawuf berteraskan manhaj tokoh seperti Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali.
“Pegangan ini bukan sekadar warisan keilmuan, tetapi benteng yang memelihara kemurnian akidah dan membimbing kehidupan umat Islam.
“Kita tidak mahu generasi muda, khususnya di Sabah, terumbang-ambing dalam arus pelbagai fahaman yang mengelirukan.
“Mereka mesti dibekalkan dengan ilmu yang sahih dan kefahaman tauhid yang teguh, agar kemurnian akidah terus terpelihara dan agama sentiasa terbela,” katanya.