Pelajar tingkatan 4 mengaku salah rogol kekasih tingkatan 3

TAWAU : Seorang pelajar lelaki tingkatan empat sebuah sekolah menengah di sini, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan merogol seorang pelajar perempuan tingkatan tiga di sebuah hotel bajet di pusat bandar Tawau, Julai lepas.

Tertuduh berusia 16 tahun itu membuat pengakuan itu selepas pertuduhan mengikut Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 376(1) kanun sama, dibacakan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu terhadap remaja berkenaan yang juga kekasihnya antara 3.30 petang hingga 6 petang pada 26 Julai lepas di sebuah hotel bajet di pusat bandar Tawau.

Kedua-duanya merupakan pelajar sekolah menengah di daerah ini, namun bersekolah di sekolah yang berlainan.

Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan bagi kesalahan merogol.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 Okt depan bagi prosiding sebutan laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM300 dengan ibunya sebagai penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nur Intan Jamrin, manakala tertuduh diwakili peguam Jhassery P. Kang daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Terdahulu, pada 30 Julai lepas, Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt, dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima laporan daripada bapa remaja perempuan itu selepas anaknya tidak pulang ke rumah.

Menurut beliau, remaja berkenaan kemudian ditemui di kawasan berhampiran pusat bandar dan siasatan awal mendapati dia mengaku tinggal bersama tertuduh di sebuah bilik sewa serta mendakwa berlaku persetubuhan antara mereka.