Ellron, bekas pemimpin STAR sertai Gagasan Rakyat

KENINGAU: Bekas Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Alfred Angin, bersama beberapa bekas pemimpin dan ahli Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dari Sook, Nabawan dan Tulid menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Ellron yang juga bekas Timbalan Presiden STAR menyerahkan borang keahlian Gagasan Rakyat Bahagian Pensiangan semalam.

Penyertaan itu turut disertai beberapa bekas pemimpin dan ahli STAR dari tiga kawasan berkenaan yang menyerahkan borang keahlian masing-masing kepada kepimpinan Gagasan Rakyat Bahagian Pensiangan.

Perkembangan itu dilihat memberi dimensi baharu kepada landskap politik di peringkat akar umbi, khususnya di kawasan Pensiangan yang merangkumi Sook, Nabawan dan Tulid.

Penyertaan Ellron bersama kumpulan berkenaan juga membuka ruang kepada pengukuhan gerak kerja serta penyatuan tenaga politik di peringkat bahagian dalam menghadapi perkembangan politik semasa.

Ia turut memberi peluang kepada Gagasan Rakyat memperkemas organisasi dan jentera parti di kawasan terbabit, selain meneruskan agenda perjuangan yang berteraskan kepentingan serta masa depan rakyat Sabah.

Kemasukan bekas pemimpin dan ahli STAR itu juga mencerminkan perkembangan sokongan terhadap Gagasan Rakyat di peringkat akar umbi, khususnya dalam usaha memperkukuh struktur parti di Bahagian Pensiangan.