HSN 2026 serentak enam zon, sasar 600,000 penyertaan

KOTA KINABALU: Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2026 bakal berlangsung serentak di enam zon dengan sasaran 600,000 penyertaan masyarakat pada Sabtu ini.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, HSN 2026 Peringkat Negeri Sabah akan diadakan di Padang Istiadat, Tuaran dan dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

“Selain Tuaran, sambutan HSN turut diadakan serentak di lima zon lain di seluruh Sabah iaitu Zon Tawau, Sandakan, Kudat, Beaufort, serta Keningau.

“Sambutan ini dijangka mampu menghimpunkan kira-kira 600,000 rakyat di seluruh negeri menerusi pelbagai pengisian program sukan dan aktiviti gaya hidup sihat.

“Penganjuran ini bukan sekadar aktiviti tahunan, sebaliknya menjadi simbolik komitmen kerajaan untuk memupuk kebiasaan bersukan sebagai budaya amalan kehidupan seharian rakyat sepanjang masa, bukannya ketika ada pertandingan semata-mata.

“Bila badan sihat dan otak cergas, masyarakat dapat melaksanakan peranan dan tugasan harian dengan lebih baik,” katanya ketika ditemui media selepas sesi temu bual bersama SabahFM dan Studio Kami Bah Ni (KBI) di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, pada Isnin.

Tambah beliau, pelbagai program telah dirangka seawal 6.00 pagi yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Menurut Nizam, HSN 2026 mengetengahkan tema ‘Sukan dan Teknologi Kecerdasan Buatan (AI)’ seiring dengan kemajuan teknologi pada masa sekarang.

“Selari dengan tema tahun ini, turut diperkenalkan sukan berasaskan AI iaitu Virtual Reality Taekwondo yang membolehkan peserta merasai pengalaman bertaekwondo secara maya menggunakan peranti khas tanpa sentuhan fizikal, selain pengunjung juga boleh menyertai e-Sukan.

“Meskipun begitu, program fizikal turut dianjurkan antaranya Senamrobik Perdana, Larian Ria MADANI serta Berjalan Ria MADANI,” katanya lagi.

Beliau turut memaklumkan selain meraikan HSN 2026, para pengunjung boleh berkunjung ke reruai Jualan Rahmah selain berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik menerusi acara cabutan bertuah.

Nizam menyeru masyarakat di Tuaran dan sekitarnya untuk hadir bagi sama-sama mengambil bahagian dalam aktiviti yang disediakan.

HSN merupakan antara program tahunan yang mula dilaksanakan pada tahun 2015 dan disambut pada setiap Sabtu minggu kedua di bulan Oktober.