TAWAU: Cubaan seorang lelaki warga asing mengaburi pihak berkuasa dengan menggunakan nombor pendaftaran berbeza pada motosikal curi gagal apabila dia ditahan polis di Jalan Kausing Baru, di sini, petang semalam.
Suspek berusia lingkungan 20-an itu ditahan kira-kira jam 2.30 petang ketika berada di atas motosikal jenis Yamaha 135LC di hadapan sebuah rumah.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, tangkapan dilakukan sepasukan anggota Polis Strike Team Balai Polis Tawau ketika menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut terhadap motosikal itu membawa kepada penemuan rekod kecurian selepas nombor casis disemak menggunakan sistem Mobile Card Acceptance Device (MCAD).
“Hasil semakan mendapati motosikal berkenaan mempunyai rekod dilaporkan hilang sebelum suspek ditahan bersama kenderaan itu untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati motosikal terbabit dilaporkan hilang di kawasan parkir belakang Eastern Plaza, di sini, pada 14 Oktober lalu.
Katanya, laporan polis berhubung kehilangan motosikal milik abang ipar itu dibuat seorang wanita tempatan berusia 22 tahun pada 15 Oktober lalu.
“Semakan lanjut turut mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.
“Suspek bersama motosikal yang dirampas dibawa ke Balai Polis Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor.
Rosdi menegaskan polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan mencuri atau memiliki kenderaan curi.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengambil langkah keselamatan ketika meletakkan kenderaan serta menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengetahui sebarang kegiatan jenayah.