TAWAU: Kegiatan penyeludupan rokok dan tembakau bernilai lebih RM1.1 juta terbongkar selepas Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang lelaki tempatan bersama sebuah van di Jalan Tawau Lama, berhampiran Kampung Titingan, di sini, awal pagi semalam.
Dalam operasi kira-kira jam 1 pagi itu, suspek berusia 45 tahun ditahan ketika memandu van putih yang membawa 492,000 batang rokok pelbagai jenis serta 880 bungkusan tembakau dipercayai barangan seludup.

Komander Briged Sabah PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nor Omar Sappi berkata, tangkapan dilakukan menerusi Op Taring Alpha 1 hasil maklumat orang awam.
Menurutnya, operasi itu dijalankan Tiger Platun Kompeni A, Batalion 14 PGA Tawau dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
“Hasil pemeriksaan terhadap van berkenaan menemukan pelbagai jenis rokok dan tembakau dipercayai diseludup sebelum pemandunya ditahan untuk siasatan lanjut.
“Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan RM1,103,104,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, rampasan membabitkan 276,000 batang rokok putih pelbagai jenama bernilai RM540,000 dan 216,000 batang rokok kretek bernilai RM422,400.
“Turut dirampas 880 bungkusan kecil tembakau seberat kira-kira 35.2 kilogram bernilai RM704 serta sebuah van yang dianggarkan bernilai RM140,000,” katanya.
Nor Omar berkata, hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala kenderaan digunakan juga tidak dikehendaki polis.
Katanya, suspek bersama semua barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“PGA akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan penyeludupan dan pengedaran rokok serta tembakau, khususnya di Sabah,” katanya.