KPDN Sandakan rampas 27,495 pek daun terup disyaki tiruan

SANDAKAN: Sebanyak 27,495 pek daun terup berjenama yang disyaki tiruan bernilai RM55,079.20 dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan dalam serbuan di tiga premis perniagaan berasingan di sini, Rabu lepas.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Sandakan, Joe Azmi Jamil, berkata operasi kira-kira jam 12 tengah hari itu dilaksanakan tiga pasukan penguat kuasa dengan kerjasama wakil pemilik cap dagangan bagi mengesahkan ketulenan produk terbabit.

Beliau berkata, hasil operasi itu, tiga kes dibuka mengikut Akta Cap Dagangan 2019 (Akta 815) selepas barangan berkenaan disyaki menggunakan cap dagangan berdaftar tanpa kebenaran pemilik sah.

Katanya, peniaga perlu memastikan semua barangan berjenama yang dijual di premis masing-masing diperoleh daripada pembekal sah bagi mengelakkan pelanggaran undang-undang.

“Para peniaga juga perlu memastikan setiap barangan berjenama yang dijual di premis masing-masing diperoleh melalui pembekal yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Joe Azmi berkata, siasatan lanjut akan dijalankan mengikut akta berkenaan, dengan individu yang disabitkan kesalahan pertama boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 bagi setiap barangan tiruan atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan berikutnya, pesalah boleh didenda sehingga RM20,000 bagi setiap barangan atau dipenjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sementara itu, menurutnya, syarikat atau pertubuhan perbadanan yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM15,000 bagi setiap barangan untuk kesalahan pertama dan sehingga RM30,000 bagi setiap barangan bagi kesalahan berikutnya.

Beliau berkata, KPDN Sandakan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam penjualan atau pengedaran barangan tiruan yang melanggar hak harta intelek serta mengelirukan pengguna.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan salah laku peniaga boleh menyalurkan aduan melalui WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN di eaduan.kpdn.gov.my, Pusat Panggilan 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN,” katanya