TAWAU: Sebuah gudang penyimpanan kayu dan papan di Kilang Hap Seng, Tanjung Batu Laut Log Pond, di sini, musnah 100 peratus dalam kebakaran, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 6.09 pagi itu, gudang jenis tidak kekal berkeluasan 150 x 220 kaki persegi terbakar sebelum pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran pada 7.53 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi NG999 sebelum jentera tiba di lokasi kejadian pada 6.18 pagi.
“Pasukan bomba memulakan operasi pemadaman menggunakan dua jentera bomba dengan bantuan pam angkut Bomba Komuniti Kampung Titingan.
“Pemadaman dilakukan di bahagian hadapan, belakang dan kiri gudang menggunakan sumber air daripada pili bomba serta air terbuka dari parit atau longkang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, operasi diteruskan selepas kebakaran berjaya dikawal bagi memadam bara api yang masih terdapat pada timbunan kayu terbakar.
Katanya, sebuah jentolak milik pihak Hap Seng turut berada di lokasi pada 4 petang bagi membantu mengalihkan timbunan kayu untuk memudahkan anggota bomba menjalankan kerja pemadaman bara api.

“Seramai 17 anggota BBP Tawau terbabit dalam operasi berkenaan dengan bantuan tujuh anggota Bomba Komuniti Kampung Titingan dan enam anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian ini,” katanya.