Jerebu: Semua sekolah di Tawau ditutup esok

TAWAU: Semua sekolah di daerah ini ditutup esok susulan situasi jerebu, menurut pemakluman operasi sekolah bagi Rabu, 14 Oktober 2026, yang diumumkan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek.

Beliau menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, penutupan itu turut membabitkan semua sekolah di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Selain itu, sekolah di beberapa daerah di Selangor, Pahang dan Sarawak turut diarahkan tutup berikutan keadaan jerebu.

Di Selangor, penutupan membabitkan sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat dan Sepang, manakala di Pahang meliputi PPD Kuantan, Pekan dan Rompin.

Di Sabah, hanya sekolah di bawah PPD Tawau terbabit, sementara di Sarawak membabitkan PPD Serian, Sri Aman dan Lubok Antu.

Fadhlina berkata, sekolah di semua negeri dan daerah lain akan beroperasi seperti biasa.

Sepanjang tempoh penutupan, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan bagi memastikan proses pembelajaran murid tidak terjejas.

Pada masa sama, guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) dibenarkan bekerja dari rumah (BDR).

Langkah itu bertujuan memastikan keselamatan dan kesihatan warga sekolah terus diberi perhatian ketika berdepan situasi jerebu.