909 PATI Filipina, Indonesia dihantar pulang serentak

KOTA KINABALU: Seramai 909 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dan Indonesia dihantar pulang ke negara asal masing-masing menerusi program pemindahan tahanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, hari ini.

Daripada jumlah itu, seramai 802 warga Filipina dihantar pulang melalui Pelabuhan Sandakan ke Zamboanga City menggunakan kapal MV Antonia 1, manakala 107 warga Indonesia dibawa pulang menerusi Pelabuhan Tawau ke Nunukan menggunakan feri komersial.

Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof berkata, pemindahan berkenaan membabitkan tahanan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu, Papar dan Tawau.

Menurutnya, kumpulan warga Filipina terdiri daripada 501 lelaki dewasa, 127 perempuan dewasa, 93 kanak-kanak lelaki dan 81 kanak-kanak perempuan berusia antara sebulan hingga 74 tahun.

“Semua kanak-kanak yang mengikuti program pemindahan ini turut diiringi ibu bapa atau pengiring masing-masing.

“Bagi warga Indonesia pula, ia membabitkan 76 lelaki dewasa, 23 perempuan dewasa, empat kanak-kanak lelaki dan empat kanak-kanak perempuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sehingga 5 November lalu, seramai 8,405 tahanan PATI pelbagai warganegara sudah dipindahkan ke negara asal masing-masing sepanjang tahun ini.

Katanya, jumlah tertinggi membabitkan warga Filipina iaitu 6,165 orang, diikuti Indonesia (1,896), Pakistan (139), China (142), Vietnam (29) dan lain-lain negara (34).

Menurutnya, semua tahanan terbabit sudah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang serta memiliki dokumen perjalanan sah termasuk Surat Perjalanan Laksana Pasport (SPLP) bagi membolehkan proses penghantaran pulang dilaksanakan.

Dalam perkembangan sama, Sitti Saleha menggesa majikan menyertai program pendataan digital warga asing yang dilaksanakan kerajaan negeri bagi memastikan keberadaan pekerja asing di Sabah direkod dan dipantau dengan lebih sistematik.

Katanya, inisiatif itu dijangka membantu menangani masalah dokumentasi serta lambakan PATI di negeri ini, khususnya dalam sektor perladangan.

Beliau turut memberi amaran bahawa JIM Sabah tidak akan berkompromi terhadap mana-mana majikan yang melindungi atau menggaji pekerja asing tanpa permit dan dokumen sah.

“Majikan yang melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 boleh dikenakan tindakan termasuk denda sehingga RM50,000, hukuman penjara dan sebatan, bergantung kepada kesalahan yang dilakukan,” katanya.