Laluan pendakian Gunung Kinabalu kini dilengkapi penanda arah kiblat

KUNDASANG: Laluan pendakian Gunung Kinabalu kini dilengkapi penanda arah kiblat di beberapa hentian rehat bagi memudahkan pendaki Muslim menentukan arah solat sepanjang perjalanan menuju ke puncak gunung tertinggi di Malaysia itu.

Inisiatif berkenaan dilaksanakan menerusi Misi Menawan Kinabalu yang disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan bersama warga agensi agama.

Penanda arah kiblat berkenaan terlebih dahulu disemak dan disahkan oleh Jabatan Mufti Negeri Sabah bagi memastikan ketepatan arah, sekali gus memberi panduan lebih jelas kepada pendaki Muslim untuk menunaikan solat ketika berada di kawasan pergunungan.

Kemudahan itu amat bermakna memandangkan pendakian Gunung Kinabalu mengambil masa berjam-jam dan melibatkan laluan berbatu serta keadaan cuaca yang tidak menentu, sekali gus memerlukan pendaki membuat perancangan rapi termasuk dalam urusan ibadah.

Dengan adanya penanda berkenaan, pendaki tidak lagi perlu bergantung sepenuhnya kepada anggaran sendiri untuk menentukan arah kiblat ketika berhenti berehat, sebaliknya dapat melaksanakan tuntutan solat dengan lebih yakin sepanjang pendakian.

Menurut perkongsian Dr Zulkifli pada Isnin, pemasangan penanda arah kiblat itu merupakan antara pengisian misi berkenaan, selain memberi peluang kepada peserta menghayati kebesaran ciptaan Allah SWT sepanjang perjalanan menuju ke puncak.

Beliau berkata, rombongan mengambil masa kira-kira lima jam untuk tiba di Panalaban pada jam 3 petang dalam keadaan cuaca sejuk dan hujan sebelum membuat persediaan untuk meneruskan pendakian ke puncak pada tengah malam.

“Perjalanan tersebut bukan sahaja menguji ketahanan fizikal dan mental, malah memberi peluang kepada peserta menghayati kebesaran ciptaan Allah SWT sepanjang pendakian,” katanya.

Selain misi pendakian, program berkenaan turut merangkumi aktiviti santunan komuniti di Kampung Mesilou menerusi agihan bakul makanan, saringan kesihatan oleh Malaysian Relief Agency (MRA), kaunter perkhidmatan Tabung Haji serta bengkel tahsin ibadah dan diskusi agama bersama Timbalan Mufti Negeri Sabah.

Dalam program sama, rombongan turut menyantuni malim gunung di Kinabalu Park menerusi sesi ramah mesra dan penyampaian sumbangan sebagai penghargaan terhadap jasa serta komitmen mereka dalam membantu dan menjaga keselamatan pendaki.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi, rakan strategik, petugas, malim gunung dan komuniti setempat, khususnya penduduk Kampung Mesilou, atas kerjasama menjayakan keseluruhan program berkenaan.