Kabel ‘extension’ rosak punca gangguan elektrik di dewan bedah hospital di Sabah – JKNS

KOTA KINABALU: Penggunaan kabel penyambung (extension cable) yang rosak dikenal pasti sebagai punca gangguan bekalan elektrik di sebuah dewan bedah hospital di Sabah ketika proses rawatan pesakit.

Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dalam kenyataannya memaklumkan, hasil siasatan mendapati kejadian itu berpunca daripada gangguan pada Papan Suis Subutama (Sub-Switch Board) di dewan bedah apabila pemutus litar utama terpelantik.

“Keadaan itu menyebabkan Sistem Bekalan Kuasa Tanpa Gangguan (UPS) di Dewan Bedah Am berkenaan tidak berfungsi, sekali gus mengakibatkan sistem janakuasa (genset) tidak mengambil alih bekalan elektrik secara automatik,” katanya.

Menurut JKNS, semakan lanjut pihak teknikal mendapati masalah berkenaan berpunca daripada penggunaan kabel penyambung yang telah rosak, manakala tindakan pembetulan telah diambil serta-merta.

Susulan kejadian itu, JKNS memastikan larangan penggunaan kabel penyambung dipatuhi di seluruh fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengelakkan insiden sama berulang.

Dalam pada itu, JKNS turut memandang serius isu perkhidmatan melibatkan aset kritikal seperti genset, UPS dan sistem penyaman udara yang telah melepasi jangka hayat penggunaannya namun masih digunakan.

Sehubungan itu, beberapa projek penggantian UPS telah dilaksanakan di peringkat hospital, selain KKM memperuntukkan RM9.4 juta pada tahun ini bagi menaik taraf kapasiti bekalan air simpanan di 23 hospital KKM di Sabah.

JKNS turut mengarahkan syarikat konsesi Perkhidmatan Sokongan Hospital (PSH) meningkatkan kekerapan pemantauan terhadap genset, UPS, panel agihan elektrik serta peralatan perubatan kritikal di dewan bedah.

“Sebarang anomali atau ketidaknormalan sistem perlu direkodkan dan diselesaikan segera bagi memastikan insiden seumpama itu tidak berulang serta menjamin keselamatan pesakit dan anggota kesihatan bertugas,” tambahnya.

Terdahulu, Malaysia (MMA) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) membuat siasatan segera ke atas dakwaan seorang doktor di Sabah terpaksa menjahit luka pesakit menggunakan lampu suluh telefon bimbit selepas bekalan elektrik terputus.

Presidennya, Dr Sivanaesan Letchumanan, berkata kejadian itu, jika benar, tidak boleh diterima dan memerlukan campur tangan segera kementerian kerana membangkitkan kebimbangan serius terhadap keselamatan pesakit.

Beliau berkata demikian susulan dakwaan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Wangsa Maju Zahir Hassan ketika membahaskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat, 17 November lalu.