KOTA KINABALU: Produk farmaseutikal dan kosmetik disyaki tidak berdaftar dengan anggaran nilai keseluruhan RM500,000 dirampas menerusi operasi penguatkuasaan bersepadu OPS PADU di 11 premis sekitar Kota Kinabalu dan Putatan, hari ini.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Asniza Alias berkata, rampasan terbesar itu turut melibatkan pelbagai jenis produk termasuk antibiotik, ubat tahan sakit, ubat antikulat, pil perancang keluarga serta produk kosmetik tidak bernotifikasi.
“Untuk tahun ini, bagi Penguatkuasaan Farmasi Sabah, ini merupakan rampasan terbesar di Sabah bagi tahun 2026,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi sidang media berhubung operasi berkenaan, di sebuah rumah yang disyaki digunakan sebagai gudang barangan, di sini.
Antara produk kosmetik yang dirampas dipercayai mengandungi bahan terkawal seperti hidrokortison, tretinoin dan steroid yang boleh mendatangkan kesan sampingan kepada pengguna sekiranya digunakan tanpa pengawasan sewajarnya.
Menurutnya, operasi berkenaan turut melibatkan sebuah premis di kawasan Likas selain beberapa lokasi lain sekitar Kota Kinabalu dan Putatan.
“Pihak berkuasa akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sumber bekalan serta saluran kemasukan produk berkenaan ke pasaran Sabah.
“Sekiranya bukti mencukupi, pihak yang terlibat boleh dihadapkan ke mahkamah mengikut peruntukan undang-undang berkaitan.
“Bagi kesalahan berkaitan produk ubat tidak berdaftar, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM25,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membeli atau menggunakan ubat-ubatan yang tidak berdaftar kerana produk berkenaan tidak melalui penilaian keselamatan, kualiti dan keberkesanan yang ditetapkan.
“Orang ramai boleh menyemak status pendaftaran produk menerusi aplikasi MyUbat dengan menggunakan fungsi PharmaChecker bagi mengimbas Farmatag.
“Kita nasihatkan kepada orang ramai supaya sentiasa memastikan nombor pendaftaran dan hologram Farmatag sebelum membeli sesuatu produk,” tambahnya.
Selain aplikasi MyUbat, pengguna juga boleh membuat semakan menerusi laman sesawang rasmi Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di ruangan Product Search.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penjualan ubat-ubatan atau produk kesihatan yang meragukan turut digalakkan menyalurkan aduan menerusi Portal Aduan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) di http://moh.spab.gov.my atau menghubungi talian hotline 03-7841 3200.
“Aduan juga boleh disalurkan ke mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan.
“KKM turut mempergiat usaha meningkatkan kesedaran masyarakat menerusi kempen TOLAK UBAT TIDAK SAH (TOBaTS) yang giat dilaksanakan sejak 2024,” katanya.