12 lelaki warga China ditahan disyaki terbabit aktiviti penipuan dalam talian

KOTA KINABALU: Seramai 12 lelaki warga China ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah selepas disyaki terbabit dalam aktiviti penipuan dalam talian menerusi satu serbuan di sebuah rumah banglo di Taman Perumahan Damai, di sini, pada 17 November lalu.

Pengarah Imigresen Malaysia JIM) Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, serbuan kira-kira jam 11 pagi itu menemukan sekumpulan lelaki berusia antara 20 hingga 43 tahun yang dipercayai menjalankan kegiatan berkenaan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, termasuk Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal lebih masa, Seksyen 6(1)(c) kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah serta Seksyen 39(b) kerana melanggar syarat pas.

“Daripada jumlah itu, empat lelaki berjaya mengemukakan pasport selepas diminta berbuat demikian, namun pemeriksaan mendapati mereka melakukan kesalahan tinggal lebih masa dan menyalahgunakan pas, manakala lapan lagi gagal mengemukakan dokumen perjalanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa Sidang Media bersama Pengarah Imigresen Malaysia Negeri Sabah, di sini, hari ini.

Saleha berkata, pihak Imigresen turut merampas 153 telefon bimbit pelbagai model jenama Apple, 11 komputer, sebuah unit CPU, sebuah mesin pencetak, 13 router, tujuh pengecas, 22 kad SIM serta tiga pasport Republik Rakyat China.

Beliau berkata, pemeriksaan terhadap peralatan yang dirampas turut menemukan rekod transaksi kewangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan penipuan berkenaan, melibatkan beberapa negara termasuk India, China dan Kemboja.

“Antara transaksi yang dikesan menunjukkan pembayaran ke akaun yang dipercayai berkaitan kegiatan penipuan berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kebanyakan komputer di lokasi serbuan telah dikunci atau tidak dapat diakses ketika pemeriksaan dilakukan, menyebabkan pihaknya hanya berjaya memeriksa sebuah komputer yang memaparkan rekod transaksi berkenaan.

Beliau turut mendedahkan kumpulan terbabit dipercayai menggunakan modus operandi berpindah dari satu lokasi ke lokasi lain bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

Menurutnya, terdapat lokasi yang dikenal pasti menerusi maklumat risikan dan aduan awam, namun kumpulan berkenaan dipercayai sudah berpindah sebelum pemeriksaan dilakukan.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat sekiranya mengesan kehadiran warga asing atau aktiviti mencurigakan di kawasan masing-masing.

“Kerjasama orang ramai amat penting bagi membantu pihak Imigresen membanteras kegiatan jenayah serta memastikan Sabah tidak dijadikan lokasi operasi penipuan dalam talian,” katanya.