Hospital Tuaran bakal diperkukuh dengan blok klinikal baharu 200 katil di bawah RMK14

KUALA LUMPUR: Hospital Tuaran bakal melalui beberapa fasa penambahbaikan dan pengukuhan kemudahan kesihatan, termasuk perancangan pembinaan sebuah blok klinikal baharu dengan tambahan 200 katil di bawah Rancangan Malaysia Ke-14 (RMK14).

Perkara itu dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan lisan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, pada Isnin lalu di Dewan Rakyat di sini.

Dalam pertanyaannya, Madius meminta KKM menyatakan perancangan menaik taraf Hospital Tuaran sebagai hospital pakar bagi memenuhi keperluan penduduk Tuaran dan kawasan sekitarnya, termasuk penambahan katil, kepakaran, doktor, jururawat, perkhidmatan ambulans, kemudahan parkir serta kos dan tempoh pelaksanaan projek.

Menurut KKM, Hospital Tuaran ketika ini beroperasi dengan kapasiti 82 katil rasmi dan pelan pengukuhan hospital merangkumi penambahbaikan fasiliti, penambahan kepakaran, pengukuhan sumber manusia serta perkhidmatan ambulans.

Antara penambahbaikan yang sedang dirancang ialah projek menaik taraf kelengkapan dan sistem dewan bedah kedua yang telah diluluskan di bawah RMK12 dengan kos RM4.14 juta. Proses tender telah ditutup pada 1 September 2026, manakala tarikh mula dan siap projek akan ditentukan selepas proses perolehan dimuktamadkan.

Selain itu, penempatan mesin Computed Tomography (CT) Scan turut diluluskan dengan peruntukan RM5 juta di bawah Rolling Plan 5 (RP5), RMK12. Pembekal telah dilantik dan kemudahan tersebut dijangka mula beroperasi pada penghujung tahun 2027.

Dari aspek kepakaran perubatan, Hospital Tuaran kini mempunyai penempatan tetap bagi empat bidang kepakaran yang melibatkan lima orang pakar. Penambahan bidang kepakaran lain akan dilaksanakan secara berfasa berdasarkan keperluan perkhidmatan serta ketersediaan fasiliti dan sumber sokongan yang bersesuaian.

KKM turut memaklumkan bahawa sehingga 30 Jun 2026, Hospital Tuaran mempunyai 387 jawatan perjawatan tetap dengan 371 telah diisi, bersamaan 95.9 peratus. Bagi menampung 16 kekosongan jawatan tetap, seramai 40 Pegawai Kontrak telah ditempatkan, menjadikan jumlah keseluruhan tenaga kerja hospital seramai 411 orang.

Keperluan tambahan doktor, jururawat dan anggota kesihatan lain akan terus diberikan perhatian berdasarkan keperluan operasi serta perkembangan perkhidmatan hospital.

Dalam usaha memperkukuh perkhidmatan kecemasan, Hospital Tuaran juga dicadangkan menerima empat unit ambulans baharu melalui tender berpusat.

Isu kekurangan tempat letak kereta turut diberikan perhatian. KKM melalui pihak hospital sedang merancang penyediaan tambahan antara 80 hingga 95 lot parkir, berbanding 169 lot yang tersedia ketika ini. Cadangan tersebut melibatkan penukaran kawasan tanah lapang kepada tempat letak kereta.

Hospital Tuaran juga termasuk dalam inisiatif KKM untuk melaksanakan penyumberluaran pengurusan tempat letak kereta melalui kaedah Request for Proposal (RFP) secara terbuka.

Bagi penyelesaian jangka panjang, KKM merancang pembinaan sebuah blok klinikal baharu di bawah RMK14 yang dijangka menyediakan tambahan 200 katil berserta kemudahan sokongan menyeluruh, termasuk ruang parkir kenderaan bagi kemudahan pesakit dan waris.

Bagaimanapun, KKM menjelaskan bahawa pelaksanaan projek akan mengambil kira pemantauan beban kerja semasa serta keperluan sebenar penduduk dan perkhidmatan kesihatan pada masa berkenaan.

Kos keseluruhan projek serta tarikh mula dan siap hanya akan dimuktamadkan selepas projek mendapat kelulusan peruntukan Kerajaan.

Perancangan ini merupakan perkembangan penting dalam usaha memperkukuh kemudahan kesihatan di Tuaran, khususnya bagi memastikan Hospital Tuaran mempunyai kapasiti, kepakaran dan kemudahan sokongan yang lebih baik untuk memenuhi keperluan penduduk setempat serta kawasan sekitarnya.