KOTA KINABALU: Industri kreatif berpotensi menjadi pemacu baharu pertumbuhan ekonomi Sabah menerusi pembangunan bakat, kreativiti dan inovasi, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih berkata, pembangunan industri berkenaan memerlukan modal insan yang bukan sahaja memiliki kemahiran teknologi, malah mempunyai daya kreativiti dan inovasi tinggi.
Menurutnya, perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), media digital serta teknologi video dan audiovisual membuka peluang lebih luas kepada penggiat seni dan industri kreatif untuk menghasilkan karya serta memperluas jangkauan pasaran.
Bagaimanapun, kemajuan teknologi perlu diseimbangkan dengan pemeliharaan nilai kemanusiaan, keaslian karya dan identiti budaya supaya warisan tempatan terus terpelihara.
“Perkembangan teknologi perlu diseimbangkan dengan pemeliharaan nilai kemanusiaan, keaslian karya dan identiti budaya agar warisan tempatan tidak diketepikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan bagi pihak Ketua Menteri Sabah pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universitas Sebelas Maret dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, hari ini.
Isnin berkata, seni bukan sekadar berkaitan penghasilan karya, sebaliknya turut memainkan peranan penting dalam menyampaikan nilai kemanusiaan, membentuk pemikiran serta memelihara warisan dan identiti masyarakat.
Katanya, institusi pengajian tinggi juga berperanan sebagai pemangkin pembangunan industri kreatif melalui penyelidikan seni, perkongsian ilmu dan pemerkasaan budaya tempatan.
Beliau turut menekankan kepentingan menyediakan ruang dan peluang kepada golongan muda untuk menceburi bidang seni dan teknologi kreatif, termasuk sebagai pencipta, pengkarya, penyelidik serta usahawan industri kreatif.
“Bakat golongan muda perlu diperkembangkan melalui pendidikan, latihan, pendedahan industri dan peluang menghasilkan karya berkualiti supaya mereka mampu meneroka bidang baharu tanpa melupakan akar budaya serta nilai masyarakat sendiri,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berharap persidangan berkenaan dapat memperkukuh perkongsian ilmu, hasil penyelidikan serta jaringan kerjasama antara institusi akademik, penyelidik dan penggiat seni serta industri kreatif dari dalam dan luar negara.
Beliau turut menyambut baik usaha memperluas hubungan akademik menerusi kerjasama penyelidikan, pertukaran ilmu, pembangunan program akademik dan penghasilan karya kreatif secara bersama.
Katanya, kerjasama berterusan antara semua pihak penting dalam memperkasa khazanah budaya tempatan serta mengembangkan industri seni dan teknologi kreatif, sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi dan menyumbang kepada pembangunan Sabah.