MUIS beri dakwah sebelum ambil tindakan terhadap pengutip zakat tanpa kebenaran

KOTA KINABALU: KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) mengutamakan pendekatan dakwah dan memberi kesedaran kepada orang ramai sebelum mengambil tindakan terhadap pihak yang mengutip zakat tanpa kebenaran di negeri ini.

Timbalan Yang Dipertua MUIS, Datuk Ustaz Malai Ali Malai Ahmad berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan pembayar zakat memahami kedudukan serta peraturan pembayaran zakat yang ditetapkan menerusi enakmen negeri.

“Kami difahamkan terdapat pihak yang berada di Sabah untuk mengutip zakat tanpa kebenaran MUIS dan perkara ini merupakan satu kesalahan,” katanya ketika ditemui di sini, pada Rabu.

Menurut beliau, Majlis Fatwa Sabah juga telah mengeluarkan fatwa bahawa pembayaran zakat kepada pihak yang tidak diamanahkan atau dilantik oleh MUIS adalah satu kesalahan dan zakat berkenaan tidak diterima dari sudut syarak.

“Sekarang kita lebih kepada dakwah dulu. Sebelum kita mengambil tindakan apa-apa, kita usahakan dakwah dan memberi kesedaran kepada pembayar-pembayar zakat.

“Kadang-kadang kalau kita ambil tindakan terus undang-undang secara agresif, memang wajar juga, tetapi biarlah kita berikan kesedaran dulu,” tambahnya.

Beliau turut mengingatkan golongan peniaga dan orang ramai supaya menyalurkan pembayaran zakat kepada MUIS selaras dengan peruntukan enakmen negeri bagi memastikan zakat diuruskan melalui saluran yang dibenarkan.

Katanya, usaha memberi kesedaran menerusi media dan saluran lain menunjukkan perkembangan positif apabila semakin ramai peniaga memahami kedudukan pembayaran zakat di Sabah.

Dalam perkembangan sama, MUIS turut menerima zakat perniagaan daripada McDonald’s Malaysia berjumlah RM100,000 bagi haul tahun ini.