MUIS tawar kerjasama kepada semua ADUN bina rumah asnaf mulai tahun depan

KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) merancang memperluas program pembinaan rumah asnaf ke seluruh Sabah mulai tahun depan menerusi kerjasama dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi membantu golongan memerlukan memiliki kediaman sendiri.

Timbalan Yang Dipertua, Majlis Ugama Islam Sabah, Datuk Ustaz Malai Ali Malai Ahmad berkata, menerusi inisiatif itu, MUIS akan menanggung 50 peratus kos pembinaan menggunakan dana zakat, manakala baki 50 peratus lagi disumbangkan melalui peruntukan ADUN kawasan terlibat.

“Baru-baru ini kita telah merasmikan dua buah rumah asnaf di kawasan Membakut. Ini hasil daripada kolaborasi dengan pemimpin-pemimpin ADUN setempat.

“Jadi kita bekerjasama dari sudut membina rumah ini dengan kadar bayaran yang ditentukan dan bahagian zakat mengeluarkan 50 peratus dan peruntukan ADUN berkenaan 50 peratus,” katanya ketika ditemui
media di sini, hari ini.

Malai Ali (tengah) ketika menyaksikan Mcdonald’s Malaysia menyerahkan cek perniagaan zakat kepada pihak MUIS, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Pematuhan & Kerjasama Institusi Merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Halal Dalaman McDonald’s Malaysia, Ahmad Shihafudin Mustapha dan Ketua Penolong Setiausaha Zakat dan Fitrah, Majlis Ugama Islam Sabah, Iwansuzairie Hari.

Program berkenaan turut melaksanakan agihan bantuan kepada golongan asnaf menerusi sumbangan 50 kotak rezeki berserta wang tunai RM200 kepada penerima terpilih.

Menurutnya, program itu akan diperluaskan pada tahun depan dengan tawaran kerjasama dikemukakan kepada setiap ADUN di Sabah.

“Insya-Allah. Jadi kita akan tawarkan kepada setiap ADUN yang ada di Sabah ini,” jelasnya.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan merupakan satu lagi pendekatan MUIS menerusi agihan zakat bagi membantu golongan asnaf, khususnya mereka yang lebih memerlukan kediaman berbanding menerima bantuan kewangan bulanan.

Katanya, terdapat golongan asnaf yang tidak mahu menerima bantuan bulanan antara RM300 hingga RM400, sebaliknya lebih memilih bantuan berbentuk penyediaan rumah.

Justeru, pendekatan pembinaan rumah itu dilihat sebagai satu alternatif dalam memenuhi keperluan golongan asnaf mengikut keadaan dan keutamaan masing-masing.

Dalam program sama, sebanyak 800 pek makanan percuma turut diagihkan kepada orang ramai menerusi pelaksanaan serentak di Sandakan dan kawasan Jalan Tuaran Bypass, hari ini.