UiTM Tawau tidak ditutup, kapasiti pelajar meningkat kepada 500 menjelang 2030 – Nizam

KOTA KINABALU: Kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah di Tawau tidak akan ditutup, sebaliknya bakal meningkatkan kapasiti pengambilan pelajar daripada 250 kepada 500 orang menjelang 2030.

Perkara itu disahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam perbincangan bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Zainudin Aman, susulan kebimbangan masyarakat berhubung kemungkinan kampus berkenaan ditutup atau melalui proses rasionalisasi.

Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, beliau sebelum ini telah menyuarakan pendirian tegas agar kampus UiTM Tawau dikekalkan, selain membawa suara dan kebimbangan masyarakat setempat mengenai masa depan institusi pendidikan tinggi itu.

Menurutnya, pendirian berkenaan dibuat bagi memastikan kepentingan pendidikan tinggi anak-anak Sabah, khususnya di kawasan Pantai Timur, terus terpelihara.

Katanya, KPT turut memberi jaminan bahawa tiada pengurangan program pengajian akan dilaksanakan di kampus UiTM Tawau.

“Sebaliknya, kapasiti pengambilan pelajar akan ditingkatkan secara berperingkat kepada 500 orang menjelang 2030, selain penawaran kursus baharu yang bersesuaian akan diperkenalkan dari semasa ke semasa,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas perbincangan yang berlangsung di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Menara Kinabalu, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha KPT, Datuk Mohd Nor Azman serta pegawai kementerian berkenaan.

Nizam berkata, jaminan itu sebagai perkembangan positif dalam memastikan lebih ramai anak Sabah, khususnya golongan muda di Pantai Timur, mendapat peluang melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang tampil menyuarakan pandangan dan kebimbangan berhubung isu berkenaan.

Katanya, maklum balas masyarakat penting bagi memastikan kepentingan pendidikan anak-anak Sabah terus diberi perhatian, sekali gus memperkukuh akses kepada pendidikan tinggi yang berkualiti di negeri ini.