Dua premis dikompaun gagal pamer tanda harga di Tawau

 

TAWAU: Sebuah pasar raya dan premis perkhidmatan mencuci kereta (car wash) di bandar ini dikenakan kompaun oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau selepas didapati gagal mempamerkan tanda harga terhadap barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan.

Tindakan itu diambil dalam operasi pemantauan yang dijalankan penguat kuasa KPDN hari ini bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan berkaitan penandaan harga.

Menurut kenyataan KPDN Tawau, pemeriksaan mendapati barangan yang dipamerkan untuk jualan serta perkhidmatan mencuci kereta tidak disertakan tanda harga jualan tunai sebagaimana diwajibkan.

Katanya, perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 yang dibuat mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“KPDN mengingatkan semua peniaga supaya mempamerkan tanda harga yang jelas dan mudah dilihat bagi setiap barangan serta caj perkhidmatan yang ditawarkan kepada pengguna.

“Ia termasuk barangan kawalan berjadual seperti minyak masak, gula dan barangan lain bagi menjamin ketelusan urus niaga,” menurut kenyataan itu.

Dalam operasi sama, menurutnya, sebanyak 35 Kenyataan Pemeriksaan Premis (KPP) turut dikeluarkan terhadap premis perniagaan yang diperiksa.

KPDN Tawau berkata, pihaknya akan terus memperhebat pemantauan, terutama menjelang musim perayaan, bagi memastikan aktiviti perniagaan dijalankan secara beretika serta mematuhi undang-undang demi melindungi kepentingan pengguna.

“Bagi kesalahan berkenaan, individu yang disabitkan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali, manakala hukuman lebih berat dikenakan bagi kesalahan berulang,” katanya