PENAMPANG: Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan RM550 ribu kepada Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Negeri Sabah bagi melaksanakan aktiviti pencegahan penyalahgunaan dadah.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majunki berkata, peruntukan itu menunjukkan kerajaan negeri serius dalam memastikan usaha pencegahan penyalahgunaan dadah terus dilaksanakan.
“Pencegahan penyalahgunaan dadah bermula dalam keluarga menerusi komunikasi antara ibu bapa dan anak-anak serta penerapan nilai positif sejak usia kecil, selain penglibatan komuniti bersama agensi kerajaan.
“Pentingnya komunikasi dalam keluarga, khususnya ibu bapa kepada anak-anak untuk kita menerapkan nilai yang baik sejak usia kecil bagi mencegah awal terhadap penyalahgunaan dadah.
“Selain itu, komuniti juga mempunyai tanggungjawab untuk bersama-sama agensi kerajaan dalam usaha pencegahan dadah supaya kita boleh menjaga komuniti kita, khususnya di kampung.
“Kerajaan negeri sebenarnya memperuntukkan sebanyak RM550,000 kepada PEMADAM Negeri untuk aktiviti dalam pencegahan, maksudnya engagement dengan masyarakat dan sebagainya termasuk program libat urus bersama masyarakat.
“Ini menandakan kerajaan cukup serius untuk memastikan perkara ini, kita ada keterlibatan dalam usaha pencegahan dan memastikan perkara penyalahgunaan dadah ini tidak terus menular,” katanya ketika ditemui media selepas Program Jom Sihat, Jom Bebas Dadah Peringkat Daerah Penampang di Buhavan Square di sini, pada Selasa.
Julita yang juga Pengerusi PEMADAM Negeri Sabah berkata, program itu menggabungkan tiga mesej utama iaitu kempen kesedaran dan pencegahan penyalahgunaan dadah dalam kalangan generasi muda, pencegahan denggi sebagai amalan bersama serta amalan gaya hidup sihat.
“Sekiranya tiga perkara ini dapat kita amalkan secara konsisten, kita bukan sahaja melindungi diri sendiri, tetapi turut melindungi keluarga dan komuniti kita.
“Program ini mendapat penglibatan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan kita ada kempen bersama dengan Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) untuk pencegahan denggi iaitu nyamuk Aedes.
“Kita berkempen supaya masyarakat lebih peka terhadap tanggungjawab mereka untuk menjaga kebersihan persekitaran supaya kita tidak perlu berdepan dengan masalah denggi, khususnya untuk daerah ini,” jelasnya.
Program berkenaan dianjurkan bersama PEMADAM Negeri Sabah dan KOSPEN Daerah Penampang dengan kerjasama Majlis Perbandaran Penampang serta PEMADAM Perbandaran Penampang.
Hadir sama, Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Rina Jainal, Setiausaha Tetap Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat (KWKKR), Datuk Maria Chong, Timbalan Setiausaha Tetap KWKKR, Alijah Ismail dan Presiden Majlis Perbandaran Penampang, Noemi Dyena John Tren.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)