Lelaki warga asing dicekup bersama syabu 52.55 gram di Penampang

PENAMPANG: Seorang lelaki warga asing ditahan polis selepas dipercayai memiliki dadah jenis syabu seberat 52.55 gram dalam operasi di Jalan Penampang Lama, di sini, malam tadi.

Dalam serbuan kira-kira jam 11 malam itu, suspek berusia 45 tahun ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Penampang hasil maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dadah.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, pemeriksaan terhadap suspek menemukan satu paket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki syabu dalam simpanannya.

“Hasil rampasan dadah disyaki jenis syabu itu dianggarkan seberat 52.55 gram dengan nilai sekitar RM6,000.

“Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek turut mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, suspek kini ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana memasukkan dadah ke dalam badan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terbabit dengan penyalahgunaan atau pengedaran dadah.

“Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau dadah hendaklah disalurkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.