JOHOR BAHRU: Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak menyeru warga Sabah yang menetap di Johor supaya memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini bagi memastikan kestabilan politik dan kemajuan ekonomi negeri terus terpelihara.
Beliau berkata, kerajaan yang stabil penting untuk memastikan Johor terus menjadi destinasi pelaburan, memperkukuh sektor industri serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang turut memberi manfaat kepada rakyat Sabah yang mencari rezeki di negeri itu.
Menurutnya, Johor sejak sekian lama menjadi antara pusat ekonomi utama negara dan menyediakan peluang pekerjaan serta perniagaan kepada ribuan warga Sabah.
“Johor telah menyediakan sumber rezeki dan pelbagai peluang kepada ramai anak Sabah.
“Kerajaan yang stabil amat penting bagi memastikan negeri ini terus maju, menarik pelaburan dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Santai Bersama Pengundi Sabah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tasek Seri Alam dan kawasan flat berhampiran di Bandar Seri Alam, semalam.
Salleh berkata, warga Sabah yang berdaftar sebagai pengundi di Johor perlu menunaikan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi bagi menentukan masa depan negeri itu.
Katanya, kestabilan politik yang berterusan akan membantu Johor mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi, meningkatkan keyakinan pelabur serta memastikan pembangunan dapat diteruskan demi manfaat semua lapisan masyarakat.
Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada warga Sabah di Johor atas sumbangan mereka dalam pembangunan ekonomi negeri serta berharap mereka terus menyokong dasar yang memberi penekanan kepada kestabilan, pembangunan dan kemakmuran bersama.
