GRS nafi dakwaan pertemuan politik, gesa fokus kepada rakyat

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menafikan dakwaan kononnya kepimpinan gabungan itu terbabit dalam pertemuan bersama Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) seperti yang tular di media sosial hari ini.

Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, beliau tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai pertemuan berkenaan dan menegaskan perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam kepimpinan GRS.

Menurutnya, tiada sebarang jemputan atau perancangan untuk mengadakan pertemuan seperti yang didakwa.

“Tidak ada maklumat berhubung pertemuan yang ditularkan dan tidak pernah ada perbincangan dalam kepimpinan GRS berkaitan sebarang jemputan atau perancangan pertemuan sedemikian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Armizan berkata, tempoh pentadbiran Kerajaan Persekutuan masih berbaki kira-kira satu setengah tahun dan semua pihak seharusnya memberi tumpuan kepada agenda pembangunan negara serta usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, keutamaan itu lebih penting memandangkan negara kini berdepan cabaran susulan impak konflik geopolitik global yang memberi kesan kepada ekonomi dan kos sara hidup.

Penafian itu selari dengan kenyataan Ketua Whip GPS yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, yang mengesahkan GPS tidak pernah dihubungi atau menerima sebarang jemputan berhubung pertemuan berkenaan.

Pada masa sama, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan BN akan terus bersama Kerajaan Perpaduan sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Terdahulu, media sosial kecoh dengan dakwaan kononnya pemimpin GRS, GPS, BN dan PN akan mengadakan sidang media bersama pada jam 2 petang, namun sidang media itu tidak berlangsung seperti yang ditularkan.