Warga emas hilang sehari ditemui selamat

KOTA BELUD: Seorang warga emas berusia 78 tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Payas-Payas di sini, berjaya ditemui selamat oleh orang awam pada Rabu.

Mangsa ditemui dalam keadaan lemah kira-kira 300 meter dari kediamannya sebelum diserahkan kepada pasukan penyelamat untuk tindakan lanjut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, PPgB Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 8.30 pagi melalui talian balai.

“Pengadu yang juga anak mangsa memaklumkan bapanya keluar dari rumah kira-kira jam 3 petang pada Selasa (28 Julai) dan tidak pulang sehingga laporan dibuat.

“Seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud bersama sebuah jentera FRT, sebuah EMRS dan sebuah kenderaan pacuan empat roda digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira lapan kilometer dari balai,” katanya dalam satu kenyataan bomba, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 8.40 pagi dan menjalankan operasi mencari mangsa dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kata beliau, mangsa ditemui oleh orang awam di kawasan Kampung Payas-Payas dalam keadaan lemah.

“Pasukan bomba kemudian membawa mangsa ke Hospital Kota Belud bagi mendapatkan rawatan lanjut,” jelasnya.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.38 petang selepas memastikan tiada bahaya di lokasi kejadian.