Pemuda GRS perkukuh gerak kerja, fokus perjuang isu belia Sabah

KOTA KINABALU: Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus memperkukuhkan peranan sebagai suara golongan muda menerusi penyelarasan gerak kerja organisasi serta komitmen memperjuangkan isu anak muda di negeri ini.

Ketua Pemuda GRS, Datuk Jonnybone J. Kurum berkata, perkara itu antara fokus utama dalam mesyuarat pimpinan Pemuda GRS yang diadakan pada Rabu bagi memperkemaskan gerak kerja organisasi.

Menurut beliau, mesyuarat itu turut membincangkan pelbagai isu semasa melibatkan perkembangan politik, ekonomi dan agenda pembangunan negeri.

Katanya, pendekatan serta tindakan yang bakal digerakkan oleh sayap Pemuda GRS turut diperhalusi bagi memastikan suara dan aspirasi golongan muda terus diberikan perhatian.

“Pemuda GRS komited untuk terus menjadi suara anak muda Sabah dengan memperjuangkan isu-isu yang dekat di hati rakyat.

“Antara fokus yang akan terus diberi perhatian ialah peluang pekerjaan, pendidikan, keusahawanan, pembangunan modal insan serta penyediaan infrastruktur dan kemudahan asas yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan media.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim.

Dalam majlis sama, turut diadakan penyerahan surat pelantikan kepada Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) Pemuda GRS sebagai usaha memperkukuhkan struktur organisasi dan memperkemaskan pelaksanaan gerak kerja di semua peringkat.

Jonnybone menambah, Pemuda GRS juga akan terus mendukung agenda pembangunan kerajaan negeri bagi memastikan Sabah terus bergerak ke arah masa depan yang lebih maju, stabil dan sejahtera.

Beliau menegaskan sayap Pemuda GRS akan memainkan peranan secara aktif dalam membawa suara generasi muda serta memastikan kepentingan mereka terus menjadi keutamaan dalam agenda pembangunan negeri.