KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah akan melaksanakan sistem laluan ‘contra-flow’ di kawasan penutupan jambatan KM2.850 Jalan Tun Fuad Stephen bermula jam 5 pagi esok bagi melancarkan aliran trafik sepanjang kerja pemasangan jambatan sementara dijalankan.
JKR Sabah dalam kenyataan memaklumkan, pelaksanaan laluan itu membabitkan pergerakan kenderaan di kedua-dua arah iaitu dari Bandaraya Kota Kinabalu menuju Teluk Likas dan sebaliknya.
Menurut kenyataan itu, sistem ‘contra-flow’ akan dikekalkan sehingga kerja pemasangan jambatan sementara di lokasi berkenaan selesai.
“Kenderaan berat melebihi lima tan serta bersaiz lebar dan panjang tidak dibenarkan melalui laluan tersebut dan perlu menggunakan jalan alternatif yang disediakan.
“Orang awam dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda amaran serta arahan lalu lintas yang dipasang di lokasi, selain merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan sebarang kesesakan sepanjang tempoh pelaksanaan sistem ini,” menurut kenyataan itu.
JKR Sabah turut memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami pengguna jalan raya dan berharap kerjasama semua pihak bagi memastikan kelancaran trafik serta keselamatan sepanjang tempoh pelaksanaan laluan ‘contra-flow’ berkenaan.