Jamawi mahu Kempen 1R1JG diteruskan hingga ke peringkat kampung

TENOM: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar mahu Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) diteruskan hingga ke peringkat kampung bagi menyemarakkan semangat patriotisme dan menggalakkan lebih ramai rakyat mengibarkan Jalur Gemilang serta bendera Sabah sempena sambutan Bulan Kebangsaan.

Beliau berkata, usaha berkenaan penting bagi memastikan masyarakat terus menghayati erti kemerdekaan serta menghargai perjuangan panjang yang dilalui negara sehingga rakyat hari ini dapat menikmati kehidupan dalam suasana aman, damai dan tenteram.

“Kita mahu semangat kemerdekaan ini diteruskan di peringkat kampung dengan mengadakan kempen kepada masyarakat agar mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah.

“Ini penting untuk mengingatkan kita bahawa proses mencapai kemerdekaan melalui perjalanan yang panjang sehingga membolehkan kita menikmati kehidupan yang aman, damai dan tenteram pada hari ini,” katanya selepas menyertai Program Walkabout Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) Daerah Tenom 2026 di Malleh Square, Pekan Tenom, hari ini.

Program yang diurus tadbir oleh Jabatan Penerangan Daerah Tenom.

Dalam program itu, rombongan melaksanakan gerak kerja walkabout dengan mengunjungi premis-premis perniagaan sekitar Pekan Tenom bagi mengagihkan Jalur Gemilang dan bendera Negeri Sabah kepada peniaga serta orang ramai.

Jamawi yang juga ADUN Melalap berkata, Kerajaan Negeri menyambut baik pelaksanaan kempen berkenaan yang dilancarkan oleh Ketua Menteri pada 1 Ogos lalu.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penjawat awam, ketua jabatan dan pemimpin masyarakat yang hadir menjayakan program itu walaupun berlangsung dalam keadaan hujan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam yang hadir pada pagi ini. Walaupun hujan, ia tidak melunturkan semangat kita untuk bersama-sama menjayakan kempen ini,” katanya.

Menurutnya, tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini, “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, perlu diterjemahkan melalui semangat perpaduan dan kecintaan kepada negara agar kesejahteraan dapat terus dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia, khususnya di Sabah dan Tenom.

Hadir sama Pegawai Daerah Tenom, Alexander Liew; Ketua Daerah, OKK Tusip Tulas; Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Tenom, Mumin Amsah; Ketua-Ketua Jabatan dan pemimpin setempat.