Bailey Bridge di Jalan Tun Fuad Stephens siap selewatnya tiga minggu – Joachim

KOTA KINABALU: Kerja-kerja pemasangan Bailey Bridge di lokasi jambatan rosak di Kilometer 2.85, Jalan Tun Fuad Stephens, Tanjung Lipat kini sedang giat dilaksanakan sebagai langkah segera bagi memulihkan semula laluan kepada pengguna jalan raya, di sini.

Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam berkata, proses pemasangan Bailey Bridge dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga minggu untuk disiapkan, bergantung kepada keadaan cuaca dan faktor teknikal di lokasi.

“Pemasangan jambatan sementara itu dilaksanakan oleh Kementerian Kerja Raya dan Utiliti (KKRU) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah bagi memastikan pergerakan lalu lintas dapat diteruskan dengan lebih lancar, selesa dan selamat sementara penyelesaian jangka panjang dilaksanakan,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai supaya terus bersabar sepanjang tempoh pelaksanaan kerja selain mematuhi semua arahan serta papan tanda keselamatan yang disediakan di kawasan berkenaan.

Katanya, KKRU bersama JKR Sabah akan memastikan kerja-kerja pemasangan disiapkan secepat mungkin demi kepentingan serta keselamatan semua pengguna jalan raya, sambil menzahirkan penghargaan atas kerjasama dan kesabaran yang diberikan oleh orang ramai.