PUCHONG: Skuad sepak takraw Sabah mencipta hari gemilang di Arena MBSJ Puchong apabila berjaya memenagi tiga pingat emas menerusi acara Beregu Wanita, Quadrant Wanita dan Beregu Lelaki pada SUKMA XXII Selangor 2026, semalam.
Lebih membanggakan, ketiga-tiga final yang disertai Sabah berakhir dengan kemenangan penuh (straight set), sekali gus membuktikan dominasi skuad negeri itu dalam saingan sepak takraw.
Emas pertama hadir menerusi Beregu Wanita apabila gandingan Sabah menewaskan Perlis 2-0, masing-masing dengan keputusan 15-7 dan 15-7.
Kejayaan itu disumbangkan Nedveesharny Samaan, Nazira Hani Iskandar @ Jali dan Fieorylla Faradona yang tampil kemas untuk mengawal permainan dalam kedua-dua set.
Sabah kemudian meneruskan momentum menerusi acara Quadrant Wanita dengan menewaskan Perak 2-0.

Pasukan Sabah yang dibarisi Fisyidiana Faradona, Nur Syafikah Andi, Nurshazreyana Edy, Rohaizan Rojer @ Harun, Mersyella Dazzy Abalay dan Nuranis Alia Lair @ Mohd Lair menang 15-12 pada set pertama sebelum menutup set kedua 15-11.

Dalam pada itu, skuad lelaki pula melengkapkan sapuan tiga emas apabila gandingan Wan Syahrul Ramadhan, Wan Mohammad Zulhakim Wan Sablee dan Norikhman Duraman menewaskan Perak 2-0 dalam final Beregu Lelaki.
Pencapaian itu hadir hanya beberapa hari selepas skuad wanita Sabah mempertahankan kejuaraan acara Regu Berpasukan Wanita, sekali gus meneruskan penguasaan enam edisi berturut-turut sejak 2014.
Tiga emas berkenaan menyaksikan sepak takraw terus menjadi antara penyumbang utama pingat buat Kontinjen Sabah, selain memperlihatkan kekuatan pasukan negeri itu dalam pelbagai acara yang dipertandingkan.
Bagi skuad wanita, kejayaan dibimbing barisan jurulatih Coach Sutep, Coach Faizan dan Coach Daut, manakala cabaran Beregu Lelaki dikendalikan Coach Aidil dan Coach Shahari dengan bantuan Coach Sarawut serta Coach Daut.
Kejayaan di Puchong itu menyaksikan Sabah menukar kesemua tiga peluang ke final kepada emas, dengan tiga kemenangan straight set.