Marvell Vincent Voo raih emas dan perak, lengkapkan koleksi tiga pingat

SHAH ALAM: Gimnas Sabah, Marvell Vincent Voo, 18, berjaya mencipta kejayaan apabila meraih satu pingat emas dan satu perak dalam acara individu Gimnastik Artistik Lelaki pada SUKMA XXII Selangor 2026, pada Sabtu.

Kejayaan itu menyaksikan Marvell melengkapkan koleksi tiga pingat pada temasya kali ini selepas sebelum ini membantu Sabah meraih gangsa dalam acara Berpasukan Lelaki pada 20 Ogos lalu.

Dalam final Senam Lantai Lelaki (Floor Exercise) di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Marvell muncul juara dengan catatan 13.050 mata untuk menghadiahkan emas kepada Sabah.

Persembahannya yang menggabungkan kekuatan, kawalan, ketepatan serta pendaratan kemas berjaya meletakkannya di kedudukan teratas.

Tidak lama selepas itu, Marvell kembali ke gelanggang untuk final Kekuda Berpelana (Pommel Horse) dan sekali lagi menampilkan aksi cemerlang apabila mengumpul 11.775 mata untuk meraih pingat perak.

Dalam tempoh kurang dua jam, gimnas berusia 18 tahun itu berjaya membawa pulang dua pingat menerusi dua aparat berbeza.

Pencapaian tersebut menambah koleksi pingat Marvell selepas dia bersama lima lagi gimnas Sabah membantu pasukan negeri meraih gangsa dalam acara Berpasukan Lelaki pada 20 Ogos lalu.

Pasukan Sabah yang turut dibarisi Addison Chang Sui Xin, Leevan Savahi Moosom, Benny Angelloti Luise, Evan Emmanuel Walter dan Lucas Immanuel Rijoh mengumpul 259.309 mata untuk menduduki tempat ketiga.

Pulau Pinang muncul juara dengan 281.967 mata, manakala Johor di tempat kedua dengan 262.308 mata.
Sabah hanya ketinggalan 2.999 mata di belakang Johor, sementara kelebihan 3.517 mata ke atas Wilayah Persekutuan di tempat keempat memastikan kedudukan gangsa buat kontinjen negeri.

Dengan pencapaian itu, Marvell kini mengumpul tiga pingat dalam tempoh tiga hari, masing-masing satu gangsa berpasukan, satu emas individu dan satu perak individu.

Kejayaan Marvell dalam acara individu dibimbing jurulatih Brandon Denoley, manakala skuad berpasukan turut mendapat bimbingan Coach Azri Omar.

Saingan Gimnastik Artistik SUKMA XXII Selangor 2026 masih berlangsung sehingga esok, sekali gus membuka peluang kepada gimnas Sabah untuk menambah koleksi pingat di DECTAR.