SEMPORNA: Dua lelaki masing-masing didenda RM20,000 selepas mengaku bersalah memiliki barang kawalan tanpa permit, sebelum dihantar ke Penjara Tawau apabila gagal menjelaskan denda berkenaan.
Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Semporna, Mohammad Roli Aliman berkata, kedua-dua kes itu diputuskan di Mahkamah Sesyen Tawau hari ini selepas mereka mengaku bersalah mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Menurutnya, dalam kes pertama, seorang lelaki didenda RM20,000 atau penjara 12 bulan jika gagal membayar denda, selain mahkamah memerintahkan 1,900 liter petrol yang disita dijual dan hasil jualan dimasukkan sebagai hasil Kerajaan.
“Bagi kes kedua pula, seorang lelaki yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri turut didenda RM20,000 atau penjara lapan bulan jika gagal membayar.
“Mahkamah turut memerintahkan dia dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas selesai menjalani hukuman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohammad Roli berkata, mahkamah turut memerintahkan 900 liter petrol yang disita dalam kes kedua dijual dan hasil jualan dijadikan hasil Kerajaan.
Katanya, barang bukan kawalan dalam kedua-dua kes pula diserahkan kepada pihak pendakwaan mengikut Seksyen 26(2) Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Kedua-dua OKS (orang kena saman) gagal menjelaskan denda dan dihantar ke Penjara Tawau untuk menjalani hukuman.
“Kedua-dua kes dikendalikan Pegawai Pendakwa KPDN Cawangan Semporna, PMP Zulkifli Baco,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohammad Roli berkata, tindakan itu membuktikan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang menyeleweng atau menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi.
“KPDN Cawangan Semporna akan terus mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau pihak yang melanggar peruntukan undang-undang berkaitan kawalan bekalan.
“Ia selaras dengan komitmen KPDN bagi memastikan barang kawalan bersubsidi tidak disalahgunakan,” katanya.