SHAH ALAM: Penantian 14 tahun golf Sabah untuk kembali meraih pingat di pentas SUKMA akhirnya terlerai apabila pemain muda, Jamie Tan Huan Ying, menghadiahkan pingat perak dalam acara Individu Wanita pada SUKMA XXII Selangor 2026.
Pemain berusia 17 tahun dari Kota Kinabalu itu menamatkan saingan tiga hari di Kelab Golf Glenmarie dengan catatan keseluruhan 219 pukulan, tiga pukulan di atas par (+3).
Jamie menampilkan permainan konsisten sepanjang tiga hari saingan dalam acara yang menuntut ketenangan, ketepatan dan disiplin dalam setiap pukulan.
Setiap lubang perlu dilalui dengan teliti, manakala sebarang kesilapan perlu segera dilupakan bagi memastikan fokus kekal sehingga pusingan terakhir.
Pada usia 17 tahun, Jamie membuktikan kemampuan bersaing di pentas SUKMA apabila berjaya mengekalkan prestasi sehingga tamat keseluruhan saingan untuk mengesahkan kedudukan naib juara.
Kejayaan itu turut dibimbing Coach Albright bersama barisan pasukan Golf Kontinjen Sabah yang memastikan persiapan serta fokus Jamie berada pada tahap terbaik sepanjang kejohanan.
Pencapaian tersebut bukan sahaja menyumbang pingat kepada Kontinjen Sabah, malah mengakhiri penantian panjang negeri itu untuk kembali berada di podium acara golf SUKMA.
Kejayaan Jamie sekali gus diharap menjadi pencetus kepada kebangkitan golf Sabah serta membuka laluan kepada lebih banyak pencapaian atlet muda negeri itu pada temasya akan datang.