Dua remaja dikhuatiri lemas ketika mandi di sungai

KENINGAU: Dua remaja lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakan-rakan di Jeti Feri Pagalan, Jalan Bakti Logam, di sini semalam.

Kedua-dua mangsa, Jastey Goment, 16, dan Khend Romel Ponce Caceres, 13, sehingga kini masih belum ditemui.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Severinus Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.15 petang sebelum tiba di lokasi lima minit kemudian.

Menurutnya, berdasarkan maklumat saksi, kedua-dua mangsa mandi bersama rakan-rakan sebelum disedari hilang dan dipercayai lemas.

“Pasukan bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan kaedah water surface dengan pencarian sejauh 500 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat.

“Operasi kemudian diperluaskan sehingga radius dua kilometer meliputi permukaan air dan tebing sungai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi SAR yang disertai 10 anggota BBP Keningau bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditangguhkan pada jam 6 petang semalam.

“Operasi akan disambung semula hari ini,” katanya.