PAPAR : Bermula dengan mempelajari kemahiran membuat kuih cincin daripada masyarakat setempat lebih dua dekad lalu, seorang pengusaha di Kg. Melugus di sini terus gigih mempertahankan warisan makanan tradisional itu sehingga kini menerusi kaedah pembuatan secara turun-temurun.
Pengusaha kuih cincin di Kg Melugus, Aini Amil berkata, perusahaan kuih cincin miliknya yang dikenali sebagai Rabiatul Enterprise masih mengekalkan kaedah pembuatan secara tradisional.
“Saya mula membuat kuih cincin secara sendiri sejak tahun 1999 selepas mempelajari cara pembuatannya daripada masyarakat setempat.
“Keistimewaan kuih cincin ini ialah penggunaan gula nipah, selain proses penyediaannya yang perlu dilakukan dengan teliti bagi memastikan kualiti dan cita rasanya kekal seperti yang diwarisi,” katanya ketika ditemui media di sini, pada Sabtu.
Menurut Aini, perusahaan yang kini memasuki tahun ke-27 itu turut menerima bimbingan Jabatan Pertanian dan agensi berkaitan bagi membantu mengembangkan perniagaan serta mengekalkan kualiti produk.
Katanya, kuih cincin keluarannya mendapat permintaan dari beberapa daerah di Sabah termasuk Tawau dan Sandakan, selain menerima tempahan dari Singapura, Brunei dan Semenanjung Malaysia.
“Singapura pernah meminta sehingga 20 karton. Brunei dan Semenanjung juga ada permintaan,” ujarnya.
Sementara itu, Aini berkata peningkatan kos bahan mentah dan operasi menjadi cabaran kepada perusahaan berkenaan sehingga jumlah pekerja kini berkurangan daripada 12 kepada 10 orang.
“Walaupun berdepan peningkatan kos, saya tetap komited untuk meneruskan penghasilan kuih cincin dan memastikan kualitinya sentiasa terpelihara.
“Saya berharap anak-anak dapat meneruskan perusahaan ini supaya resepi dan kemahiran membuat kuih cincin tidak hilang ditelan zaman,” tambahnya lagi.
Dalam program tersebut, peserta Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) turut berpeluang mencuba sendiri proses menghasilkan kuih cincin dengan bimbingan pengusaha, sekali gus memberi pengalaman secara langsung mengenai kaedah pembuatan makanan tradisional berkenaan.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Negeri Sabah, Jainisah Mohd Noor serta peserta konvoi KMJG.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)