Penceroboh kebun ‘kantoi’ bawa senapang angin guli buatan sendiri

TAWAU: Cubaan seorang lelaki warga asing menceroboh sebuah kebun di Batu 15, Jalan Apas Balung, di sini terbongkar selepas dia ditahan polis bersama sepucuk senapang angin guli buatan sendiri, semalam.

Suspek ditahan ketika sedang duduk di bawah pokok dalam kawasan kebun berkenaan selepas pemilik kebun mengesan kehadiran seorang individu mencurigakan.

Pemilik kebun turut mendapati rantai pada pintu pagar dipercayai telah dipotong sebelum melihat suspek membawa senapang angin guli buatan sendiri.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata, sepasukan anggota dari Balai Polis Bandar Sri Indah yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah kemudian bergegas ke lokasi.

“Suspek berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati dia menunjukkan lokasi senapang angin guli buatan sendiri berwarna hijau dan hitam yang diletakkan di atas sebuah kerusi di bawah pokok,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, senjata berkenaan kemudian dirampas untuk siasatan lanjut.

Katanya, pemeriksaan turut mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Wilynton berkata, polis akan terus mempergiatkan rondaan dan tindakan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan penduduk di daerah Tawau sentiasa terpelihara.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengesan kehadiran individu atau aktiviti mencurigakan di kawasan masing-masing.