Sabah catat kenaikan 25.5% pelawat China, sambut semula laluan Xiamen Airlines

FUZHOU: Sabah merekodkan pertumbuhan kukuh daripada pasaran China apabila jumlah ketibaan pelawat dari negara itu meningkat 25.5 peratus bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, sekali gus mengukuhkan kedudukan China sebagai pasaran sumber antarabangsa terbesar bagi Sabah.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, Sabah merekodkan 484,699 ketibaan pelawat dari China bagi tempoh Januari hingga Julai 2026, berbanding 386,217 ketibaan dalam tempoh sama tahun lalu.

“Pertumbuhan kukuh ini mencerminkan permintaan berterusan terhadap Sabah dalam kalangan pelancong China dan menyerlahkan kepentingan memperkukuh hubungan serta jaringan perhubungan dengan China,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sabah B2B Roadshow di Fuzhou, hari ini.

Bagi menyokong peningkatan permintaan itu, Xiamen Airlines akan menyambung semula perkhidmatan penerbangan terus Xiamen-Kota Kinabalu pada 23 September 2026.

Bersama laluan sedia ada Fuzhou-Kota Kinabalu, Sabah kini bakal menerima tujuh penerbangan terus seminggu dari wilayah Fujian, iaitu empat penerbangan dari Xiamen dan tiga penerbangan dari Fuzhou.

Jafry menambah, peningkatan jaringan penerbangan itu akan memudahkan akses pelancong dari Fujian dan kawasan sekitarnya ke Sabah, selain membuka lebih banyak peluang kepada industri pelancongan negeri.

“Jaringan perhubungan yang dipertingkatkan ini akan menjadikan Sabah lebih mudah diakses oleh pelancong dari Fujian dan kawasan sekitarnya, selain mewujudkan peluang lebih besar kepada industri pelancongan kita,” ujarnya.

Beliau turut menekankan bahawa Sabah kekal sebagai destinasi yang menawarkan kepelbagaian luar biasa, bukan sahaja melalui pantai yang indah dan hutan hujan purba, tetapi juga menerusi keramahan masyarakat serta kekayaan tradisi budaya negeri itu.

Sabah B2B Roadshow berkenaan dianjurkan dengan kerjasama erat Malaysia Chinese Tourism Association (MCTA) Sabah Chapter, Xiamen Airlines dan Lembaga Pelancongan Sabah, yang menghimpunkan ejen pelancongan serta pemain industri utama dari Xiamen dan Quanzhou bagi meneroka peluang kerjasama baharu.