Tanah runtuh sepanjang 150 meter, Jalan Sim-Sim Sandakan ditutup

SANDAKAN: Jalan Sim-Sim berhampiran Tokong Cina Pau Kung di sini, ditutup kepada pengguna jalan raya selepas kejadian tanah runtuh sepanjang kira-kira 150 meter malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, PKPgB Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 9.19 malam sebelum sembilan anggota digerakkan ke lokasi.

Menurutnya, pasukan bomba tiba pada jam 9.27 malam dan mengesahkan berlaku tanah runtuh di kawasan berkenaan.

“Kawasan tanah runtuh berada jauh dari lokasi perumahan, namun berisiko terhadap pengguna jalan raya utama,” katanya dalam satu kenyataan bomba, hari ini.

Turut berada di lokasi ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Papat, Alex Thien.

Pasukan bomba turut mendapatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), selain menghubungi Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mendapatkan tindakan lanjut berhubung kejadian.

Kata beliau, hasil perbincangan bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah pada jam 10.56 malam mendapati tanah runtuh berlaku sepanjang kira-kira 150 meter dan jalan raya ditutup atas faktor keselamatan.

“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu,” ujarnya.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I Shahril Akmal ditamatkan pada jam 11.06 malam selepas keadaan di lokasi dipastikan selamat.