KOTA KINABALU: Pelaksanaan tiga inisiatif melibatkan penggunaan teknologi digital, pemasangan solar serta pemerkasaan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sabah dijangka dimulakan pada Oktober ini.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, inisiatif yang dilaksanakan melalui kementeriannya merangkumi pemasangan papan iklan digital di lokasi strategik seluruh Sabah, pemasangan sistem solar di bangunan kerajaan serta penyerahan televisyen pintar (Smart TV) kepada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) serta PBT.
Menurutnya, cadangan pemasangan papan iklan digital itu akan dilaksanakan menerusi kerjasama antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI), KKTP dan PBT bagi memperluas penggunaan teknologi digital dalam penyampaian maklumat kepada masyarakat.
“Papan iklan digital ini bukan sahaja menjadi medium penyampaian maklumat yang lebih pantas dan berkesan, malah berpotensi memberikan sumber pendapatan tambahan kepada PBT,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi penyerahan Smart Tv dan pembentangan bagi tiga inisiatif berkenaan di bangunan KPSTI, di sini, pada Rabu.
Beliau berkata, lokasi dan jumlah papan iklan digital akan ditentukan bersama kementerian serta PBT dengan memberi tumpuan kepada kawasan yang mempunyai nilai strategik.
Dalam pada itu, cadangan pemasangan sistem solar di bangunan kerajaan turut diberi perhatian sebagai usaha mengurangkan penggunaan tenaga elektrik dan kos operasi kerajaan.
Menurutnya, pemasangan solar akan dilaksanakan berdasarkan penyertaan bangunan atau agensi kerajaan yang bersetuju untuk menyertai inisiatif berkenaan, dengan sasaran pengurangan penggunaan elektrik sekitar 10 peratus.
“Sebanyak 24 perpustakaan di bawah kementerian saya turut dikenal pasti untuk dipertimbangkan bagi pemasangan sistem solar,” ujarnya.
Tambah beliau, selain aspek teknologi dan tenaga, inisiatif berkenaan turut membuka peluang latihan serta pekerjaan kepada golongan berpendapatan rendah termasuk dalam aspek penyelenggaraan papan iklan digital.
Sementara itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, berkata pihaknya menyambut baik kerjasama yang diberikan KPSTI menerusi penyerahan Smart TV kepada KKTP dan PBT.
Beliau berkata penggunaan kemudahan berkenaan mampu membantu meningkatkan penyampaian maklumat, kecekapan serta keberkesanan tugasan di peringkat kementerian dan PBT.
“Cadangan pemasangan papan iklan digital dan sistem solar juga akan dibincangkan dengan lebih lanjut di peringkat kementerian dan PBT sebelum pelaksanaannya.
“Kerjasama ini penting bagi memastikan penggunaan teknologi dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan serta penyampaian maklumat kepada masyarakat,” katanya.