PAPAR: Pengoperasian Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Benoni 33/11kV dijangka memperkukuh kestabilan serta daya tahan sistem bekalan elektrik di daerah Papar, khususnya bagi menghadapi pertumbuhan permintaan tenaga pada masa hadapan.
Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata PPU Benoni yang mula dibangunkan pada Ogos 2024 itu menyediakan kemudahan bekalan sandaran N-1 kepada Pencawang Masuk Utama (PMU) Papar dan PPU Kimanis.
Katanya, kemudahan itu membolehkan sistem mempunyai daya tahan lebih baik ketika kerja penyelenggaraan atau berlaku gangguan bekalan elektrik yang tidak dirancang.
“PPU Benoni merupakan aset infrastruktur elektrik yang amat strategik bagi menampung dan menyokong pertumbuhan kawasan Benoni dan sekitarnya yang berkembang dengan amat pesat.
“Infrastruktur ini bukan hanya menjamin kestabilan bekalan elektrik pengguna domestik, malah memenuhi keperluan sektor komersial dan industri,” katanya dalam kenyataan sempena perasmian pengoperasian PPU Benoni, hari ini.
Armizan turut merakamkan penghargaan kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) atas pelaksanaan projek berkenaan yang menurutnya memberikan manfaat strategik kepada keseluruhan sistem rangkaian elektrik di Papar.
Beliau berkata, selain PPU Benoni, SE turut membina 16 Pencawang Elektrik (PE) baharu di kawasan Parlimen Papar dari 2023 hingga Ogos 2026 sebagai sebahagian daripada usaha menstabilkan bekalan elektrik di kawasan berkenaan.
Katanya, projek itu turut membantu menangani masalah gangguan bekalan dalam bentuk kesusutan voltan (voltage drop) yang sebelum ini berlarutan di beberapa lokaliti sehingga menyebabkan kerosakan barangan elektrik isi rumah.
“Pembinaan PPU dan PE merupakan antara projek penting dalam komponen Pembahagian (Distribution) bagi memastikan sistem bekalan elektrik lebih stabil dan berdaya tahan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Armizan berkata kestabilan bekalan elektrik Sabah perlu dilihat secara menyeluruh dengan mengambil kira tiga komponen utama iaitu penjanaan (Generation), penghantaran (Transmission) dan pembahagian (Distribution).

Beliau turut mengalu-alukan komitmen Kerajaan Negeri Sabah dalam menangani isu ketidakstabilan bekalan elektrik, termasuk pengambilalihan kuasa kawal selia gas pada 2023 serta kuasa kawal selia elektrik dan tenaga boleh baharu pada 2024.
Peralihan kuasa kawal selia elektrik dan tenaga boleh baharu kepada Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) membolehkan perancangan serta pelan tindakan berkaitan sektor tenaga digubal dan dipantau di peringkat negeri.
Menurut data yang diumumkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, pada 21 September lalu, jidar simpanan (reserve margin) penjanaan elektrik Sabah meningkat daripada lapan peratus pada 2024 kepada 19 peratus setakat Ogos 2026 dan disasarkan mencapai 26 peratus menjelang akhir tahun ini.
Armizan berkata peningkatan itu, bersama penambahbaikan tempoh gangguan bekalan elektrik, perlu diteruskan menerusi perancangan kapasiti serta pengukuhan infrastruktur tenaga yang menyeluruh.
Beliau turut menghargai komitmen Kerajaan Persekutuan menyalurkan subsidi elektrik tahunan bagi Sabah yang disifatkannya banyak membantu menanggung kos operasi pembekalan elektrik.
Katanya, komitmen itu diharapkan dapat diteruskan sehingga proses transformasi bekalan elektrik Sabah mencapai tahap yang lebih stabil dan mampan, khususnya dalam menangani isu legasi kestabilan elektrik yang telah berlarutan sekian lama.