SEMPORNA: Seorang lelaki dihukum penjara 10 bulan selepas gagal membayar denda RM15,000 kerana memiliki 600 liter petrol tanpa permit di daerah ini.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan, lelaki berkenaan dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Sesyen Tawau semalam selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki barang kawalan tanpa permit.
Menurutnya, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
“Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM15,000 dan menetapkan hukuman penjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
“Lelaki terbabit gagal melunaskan denda sebelum dihantar ke penjara untuk menjalani hukuman,” katanya.
Dalam prosiding sama, mahkamah turut memerintahkan 600 liter petrol yang disita dijual, manakala hasil jualan dilucutkan dan dimasukkan sebagai hasil kerajaan.
KPDN Sabah berkata, sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran bersama enjin sangkut Yamaha 40 kuasa kuda (HP) yang turut disita pula diserahkan kepada KPDN untuk tujuan pelupusan.
Kes berkenaan hasil tindakan penguatkuasaan Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna dan dikendalikan Pegawai Pendakwa KPDN Cawangan Semporna, Zulkifli Baco.
Sementara itu, Ketua Cawangan KPDN Semporna, Mohammad Roli Aliman berkata, pihaknya akan terus mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan bagi memastikan barang kawalan bersubsidi tidak disalahgunakan.
Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang melanggar peruntukan undang-undang berkaitan kawalan bekalan.
“Langkah ini selaras dengan komitmen KPDN dalam memastikan barang kawalan bersubsidi kekal dinikmati oleh golongan yang sepatutnya,” katanya.