Ekonomi gig berkembang, perlindungan pekerja perlu diperkasa

Perubahan dunia pekerjaan hari ini membuka lebih banyak pilihan kepada individu untuk mencari pendapatan tanpa terikat kepada waktu dan tempat kerja tetap.

Perkembangan teknologi dan ekonomi digital turut mendorong pertumbuhan ekonomi gig yang kini menjadi sebahagian daripada landskap pekerjaan di Malaysia.

Daripada pemandu e-hailing dan penghantar makanan kepada jurufoto bebas, peniaga dalam talian, wartawan, pelakon serta penyanyi, pekerjaan gig menawarkan peluang kepada orang ramai menjana pendapatan sama ada secara sepenuh masa atau sambilan.

Fleksibiliti mengurus masa dan memilih tugasan antara faktor yang menjadikan pekerjaan ini semakin mendapat tempat di mata masyarakat.

Namun, di sebalik kebebasan itu, pekerja gig turut berdepan beberapa cabaran.

Antaranya isu bayaran yang tertangguh, akaun platform digantung atau disekat tanpa penerangan yang jelas, kontrak perkhidmatan yang kurang difahami serta kekeliruan mengenai saluran yang boleh digunakan apabila berlaku pertikaian.

Situasi itu menunjukkan bahawa pertumbuhan ekonomi gig bukan hanya memerlukan lebih banyak peluang pekerjaan, tetapi juga perlindungan yang dapat menjamin kebajikan pekerja.

Atas keperluan itu, Akta Pekerja Gig 2025 [Akta 872] diperkenalkan bagi menyediakan kerangka perlindungan yang lebih tersusun untuk pekerja gig di Malaysia.

Antara perkara penting di bawah akta berkenaan ialah penubuhan Majlis Perundingan Gig (MPGig), yang menjadi platform perbincangan antara kerajaan, wakil pekerja gig, entiti kontrak dan pihak berkepentingan.

Melalui MPGig, isu berkaitan sektor gig boleh dibincangkan dengan lebih menyeluruh, termasuk soal kadar pendapatan minimum, formula pendapatan serta standard minimum yang mengambil kira jenis pekerjaan, sektor dan kawasan.

Lebih penting, kewujudan majlis itu memberi ruang kepada pekerja gig untuk menyuarakan pengalaman dan pandangan mereka supaya ia dapat dipertimbangkan dalam pembentukan dasar berkaitan sektor berkenaan.

Dalam pekerjaan gig, pertikaian antara pekerja dan entiti kontrak boleh berlaku. Namun, perkara penting ialah pekerja mempunyai saluran yang jelas untuk mendapatkan penyelesaian.

Langkah pertama ialah pekerja gig berbincang dengan entiti kontrak melalui Mekanisme Kilanan Dalaman.

Jika masalah masih tidak dapat diselesaikan, aduan boleh dikemukakan kepada Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui saluran yang disediakan di pautan https://eaduan-gig.mohr.gov. my/, email: gigkesuma@mohr.gov. my atau hadir ke mana-mana jabatan dan agensi di bawah KESUMA selaras dengan konsep No Wrong Door Policy.

Antara isu yang boleh dibawa termasuk masalah bayaran atau pendapatan yang tidak diterima, akaun platform digantung atau disekat, masalah kontrak perkhidmatan, keselamatan dan kesihatan pekerjaan, perlindungan keselamatan sosial serta ketidakpatuhan terhadap keputusan Tribunal Pekerja Gig.

Jika rundingan masih gagal, kes berkenaan boleh dirujuk kepada Tribunal Pekerja Gig.

Tribunal itu menyediakan satu lagi mekanisme untuk menyelesaikan pertikaian antara pekerja gig dan entiti kontrak tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada proses mahkamah yang panjang.

Pendekatan itu diharap dapat menjadikan proses penyelesaian pertikaian lebih mudah, cepat dan berpatutan, selain memberi keyakinan kepada pekerja gig bahawa terdapat saluran khusus untuk menangani masalah yang dihadapi.

Ekonomi gig dijangka terus berkembang selari dengan perubahan teknologi dan keperluan pasaran pekerjaan. Fleksibiliti yang ditawarkan sektor ini sememangnya memberi pilihan kepada individu untuk menentukan cara dan masa mereka bekerja.

Bagaimanapun, fleksibiliti itu perlu datang bersama perlindungan yang sewajarnya. Pekerja gig bukan sekadar sebahagian daripada angka dalam perkembangan ekonomi digital, tetapi individu yang bergantung kepada pendapatan tersebut untuk meneruskan kehidupan.

Dengan adanya Akta Pekerja Gig 2025, pekerja gig mempunyai kerangka yang lebih jelas mengenai hak mereka, manakala entiti kontrak pula mempunyai panduan mengenai tanggungjawab yang perlu dipenuhi.

Akhirnya, kekuatan ekonomi gig bukan hanya terletak pada berapa banyak peluang pekerjaan yang mampu diwujudkan, tetapi juga sejauh mana sektor itu dapat membina persekitaran kerja yang lebih teratur, adil dan memberi perlindungan kepada semua pihak.