KOTA KINABALU: Pengambilalihan kuasa kawal selia sektor tenaga memberi ruang lebih besar kepada Sabah untuk menentukan hala tuju pembangunan tenaga negeri berdasarkan keperluan, keutamaan dan kepentingan rakyat tempatan.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Joniston Bangkuai, berkata kuasa kawal selia berkenaan penting bagi membolehkan Sabah merancang dan mengurus sektor tenaga secara lebih tersusun, selain memastikan pembangunan sektor itu menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.
Katanya, tenaga yang mencukupi, stabil, mampu milik dan boleh dipercayai merupakan asas kepada perkembangan industri, kemasukan pelaburan, pewujudan peluang pekerjaan serta peningkatan taraf hidup rakyat.
“Tenaga bukan sekadar soal bekalan elektrik atau gas, tetapi menjadi asas kepada pembangunan ekonomi, industri, pelaburan, pekerjaan dan kualiti hidup rakyat,” katanya ketika berucap pada Sesi Bersama Media Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), di sini, hari ini.
Menurutnya, Sabah mengambil alih kuasa kawal selia bekalan gas daratan pada 10 Januari 2023, diikuti kuasa kawal selia elektrik dan tenaga boleh baharu pada 3 Januari 2024.
Beliau berkata perkembangan itu memperkukuh keupayaan Sabah untuk menentukan pendekatan pembangunan sektor tenaga yang bersesuaian dengan keadaan dan keperluan negeri, termasuk memastikan manfaatnya dapat dinikmati rakyat di kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman.
“Dalam mengawal selia sektor ini, kita perlu melihat kepada keperluan rakyat, kemampuan industri, kelestarian alam sekitar, perkembangan teknologi dan hala tuju pembangunan negeri.
“Persekitaran kawal selia yang jelas, telus dan bertanggungjawab juga penting untuk memberi keyakinan kepada sektor swasta melabur dalam infrastruktur serta teknologi tenaga,” jelasnya.
Joniston berkata ECoS sebagai badan pengawal selia turut mempunyai peranan penting memastikan aspek keselamatan, pematuhan, perlindungan pengguna dan pembangunan tenaga boleh baharu dilaksanakan secara seimbang.
Dalam pada itu, beliau berkata Sabah mempunyai potensi besar dalam pembangunan tenaga boleh baharu termasuk tenaga solar dan hidro, namun peralihan tenaga perlu dilaksanakan secara berhati-hati dengan mengambil kira kemampuan rakyat, kesiapsiagaan infrastruktur serta keperluan industri.
Beliau turut menekankan kepentingan inisiatif seperti Solar Rakyat Sabah dan Sabah Energy Efficiency Action Plan yang dilancarkan ECoS pada Julai lalu dalam menggalakkan rakyat serta sektor perniagaan memainkan peranan dalam agenda tenaga negeri.
Katanya, usaha meningkatkan penggunaan tenaga boleh baharu perlu bergerak seiring dengan pembentukan sistem tenaga yang cekap, berdaya tahan dan mampu memenuhi keperluan Sabah dalam jangka panjang.
“Matlamat kita bukan sekadar meningkatkan penggunaan tenaga boleh baharu, tetapi memastikan keseluruhan sistem tenaga Sabah kukuh, cekap dan berdaya tahan,” ujar beliau.
Beliau berkata kerjasama erat antara kerajaan, ECoS, industri, institusi ekonomi, masyarakat dan media penting bagi memastikan maklumat berkaitan sektor tenaga disampaikan secara tepat, jelas dan bertanggungjawab.