KOTA KINABALU: Seramai 65 kru termasuk tekong warga Filipina ditahan selepas vesel nelayan asing (VNA) dinaiki mereka disyaki menceroboh perairan negara dan menangkap ikan tanpa kebenaran, Sabtu lalu.
Vesel terbabit ditahan kira-kira jam 1.30 petang pada 27 September ketika dikesan berada kira-kira 18 batu nautika barat Pulau Mantanani oleh aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang sedang menjalankan rondaan rutin.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, pemeriksaan mendapati kesemua kru sedang memunggah kira-kira empat tan hasil laut ke dalam vesel berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 65 kru termasuk tekong berada di atas vesel tersebut.
“Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri atau permit kerja yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kru terbabit turut disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan.
Katanya, vesel bersama tekong, kru dan hasil laut kemudian ditahan dan dibawa ke jeti Maritim Malaysia sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
“Nilai keseluruhan rampasan termasuk vesel dan hasil laut dianggarkan RM350,000.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana vesel nelayan asing yang menceroboh perairan negara atau menjalankan aktiviti perikanan tanpa kebenaran,” katanya.
Mohd Khairulanuar berkata, tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan kedaulatan perairan, kepentingan sumber perikanan serta keselamatan maritim negara sentiasa terpelihara.
“Orang ramai khususnya komuniti nelayan yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di talian 088-387 774 atau talian kecemasan 999,”katanya