KOTA KINABALU: Keselamatan elektrik perlu menjadi tanggungjawab bersama semua pihak termasuk kerajaan, Sabah Electricity, agensi penguat kuasa, kontraktor, pemimpin masyarakat dan orang awam.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, berkata aspek keselamatan perlu bergerak seiring pembangunan infrastruktur elektrik bagi memastikan bekalan tenaga yang stabil dan boleh dipercayai dapat dinikmati rakyat dalam keadaan selamat.
Beliau berkata, usaha mencegah kemalangan elektrik perlu bermula dengan kesedaran dan tindakan setiap individu, selain tidak mengambil mudah sebarang risiko berkaitan elektrik.
“Keselamatan elektrik adalah tanggungjawab bersama. Jangan mengambil risiko atau membuat andaian mengenai keselamatan elektrik.
“Sekiranya terdapat sebarang keraguan, dapatkan nasihat dan maklumat daripada pihak berautoriti terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Elektrik Orang Awam serta Minggu Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar Sabah Electricity, di sini, hari ini.
Joachim berkata, masyarakat perlu sentiasa peka terhadap risiko elektrik termasuk ketika bekerja berhampiran talian elektrik, menyentuh kabel terputus, membuat sambungan elektrik tidak sah serta menjalankan kerja pengubahsuaian tanpa mengambil kira kedudukan pepasangan elektrik.
Katanya, kerja pembinaan, penggalian, pemotongan pokok dan pemasangan struktur berhampiran talian elektrik juga boleh mengundang bahaya sekiranya tidak dirancang dan dilaksanakan dengan betul.
“Pemimpin masyarakat mempunyai peranan penting dalam menyampaikan mesej keselamatan elektrik kepada komuniti, khususnya di kawasan kampung.
“Ibu bapa juga perlu memastikan anak-anak memahami bahaya bermain berhampiran pencawang atau talian elektrik, manakala pemilik premis dan kontraktor hendaklah memastikan pendawaian serta kerja berkaitan elektrik dilaksanakan dengan selamat,” katanya.
Dalam pada itu, Joachim berkata, kerjasama dan koordinasi antara agensi amat penting terutama bagi kerja pembinaan jalan, penggalian, pemasangan infrastruktur telekomunikasi serta pemangkasan pokok yang berpotensi menjejaskan infrastruktur elektrik.
Menurutnya, koordinasi awal antara agensi dan pihak berkepentingan bukan sahaja mampu mencegah kemalangan, malah membantu mengurangkan gangguan bekalan elektrik kepada masyarakat.
Beliau berkata, penganjuran Minggu Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar Sabah Electricity turut penting dalam membentuk budaya kerja yang lebih selamat, sihat dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
“Keselamatan tidak seharusnya hanya menjadi program tahunan, sebaliknya mesej keselamatan perlu menjadi sebahagian daripada amalan harian.
“Keselamatan elektrik bukan tanggungjawab Sabah Electricity sahaja. Keselamatan elektrik ialah tanggungjawab kita bersama,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak supaya tidak mengambil mudah risiko elektrik dan sentiasa mengutamakan keselamatan dalam setiap aktiviti, selaras dengan semangat ‘Bersama Kerja Selamat’.