KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan menjadikan Integriti Berasaskan Keberhasilan (OBI) sebahagian daripada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Ketua Jabatan dan kepimpinan Syarikat Kerajaan Negeri (SBK) mulai tahun 2027.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman berkata, langkah itu selaras dengan aspirasi Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang mahu pengurusan Governans, Integriti dan Antirasuah (GIA) tidak lagi dinilai berdasarkan output semata-mata.
“Keberkesanan pengurusan GIA wajib diterjemahkan melalui keberhasilan nyata berteraskan tiga teras OBI.
“Pertama, pengurangan ketara risiko ketirisan dan penyelewengan menerusi pendekatan 3P iaitu Proactive, Predictive and Preventive.
“Kedua, peningkatan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam yang bebas daripada kelewatan dan kerenah birokrasi, manakala ketiga ialah peningkatan tahap kepercayaan rakyat dan komuniti pelabur terhadap pentadbiran kerajaan.
“Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri (JPAN), Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah (BIGoNS), semua Setiausaha Tetap Kementerian serta Ketua Jabatan Negeri diarahkan mengambil perhatian serius dan merancang tindakan serta-merta bagi melaksanakan pendekatan berkenaan,” katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk Norlijah Danin pada Majlis Penutupan Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (KITA) Tahun 2026 di sini, pada Rabu.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri komited mentransformasi pengurusan GIA daripada pemantauan berjadual secara konvensional kepada sistem pengawasan digital secara masa nyata.
“Beberapa platform digital telah dibangunkan hasil penganjuran KITA, antaranya aplikasi i-Adu untuk aduan awam, sistem i-DIMSS bagi pemantauan Mesyuarat Tatatertib serta i-STANS yang mentransformasi pengurusan Mesyuarat Jawatankuasa Tatakelola Negeri secara digital.
“Semua kementerian dan agensi perlu memastikan penggunaan sistem ini dilaksanakan secara end-to-end tanpa kompromi bagi membasmi sebarang ruang dan peluang salah guna kuasa,” jelasnya.
Beliau turut mengarahkan BIGoNS merangka pelan tindakan khusus berkaitan Digital Governance dan Behavioural Insights dalam pengurusan GIA untuk dibentangkan pada suku pertama 2027.
Katanya, antara perkara yang mahu diberikan penekanan ialah mekanisme peringatan kebertanggungjawaban automatik serta paparan prestasi agensi secara telus sebagai norma baharu dalam pentadbiran negeri.
Dalam perkembangan sama, beliau mengucapkan tahniah kepada 22 pegawai daripada agensi Kerajaan Negeri yang bakal ditauliahkan Certification in Professional Integrity Assurance and Management (CPIAM) oleh Universiti Sains Malaysia pada 21 Oktober ini.
Menurutnya, kejayaan itu bersama penempatan 10 Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) di kementerian, mencerminkan kesediaan kerajaan melahirkan barisan kepimpinan baharu yang berprinsip tinggi serta menguasai amalan tadbir urus moden.
Konvensyen dua hari bertemakan “Integriti Memacu Tatakelola Sabah Maju Jaya” itu menghimpunkan lebih 2,500 delegasi dari seluruh negeri dan menekankan keperluan tindakan berasaskan data, perkhidmatan awam berjiwa rakyat serta pengukuhan etika dan nilai murni.
Hadir sama, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab, Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Datuk Mohd Sofian Alfian Nair, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran), Datuk Dr. Jamili Nais yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana KITA 2026.