SEMPORNA :Tiga lelaki dijatuhi hukuman penjara antara sebulan hingga dua tahun oleh Mahkamah Majistret 2 Semporna atas kesalahan pencerobohan, memiliki rokok tanpa penjelasan memuaskan dan mencuri, dalam tiga kes berasingan, pada 8 oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah berkata, semua hukuman dijatuhkan oleh Majistret Don Stiwin Malanjum, manakala pendakwaan dikendalikan Inspektor Muhammad Nur Faez Hazreeq Abdullah.
Menurutnya, dalam kes pertama, Amir Kahal, berketurunan Bajau, dijatuhi hukuman penjara dua tahun selepas didapati bersalah melakukan pencerobohan di Bilik 207, Seawind Cloudrest Resort, Jalan Kemiri, kira-kira jam 3 pagi pada 19 September lalu.
“Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas selesai menjalani hukuman.
“Kes kedua, Nasrin Mustapha, 24, dijatuhi hukuman penjara sebulan bermula dari tarikh tangkapan selepas didapati memiliki 300 karton rokok jenama Neslite Max di kawasan Jeti CIQS Semporna, kira-kira jam 8.30 pagi pada 7 September lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, dia didakwa mengikut Seksyen 22A(1) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil Negeri Sabah kerana gagal memberikan penjelasan memuaskan berhubung pemilikan rokok berkenaan.
Sementara itu, Jefri Burahan, 30, dijatuhi hukuman penjara 12 bulan bermula dari tarikh tangkapan selepas didakwa mencuri sebuah mesin basuh jenama Midea berkapasiti 15 kilogram milik orang lain di Kedai Darson Elektrik, Semporna, kira-kira jam 9.20 pagi pada 30 September lalu.
“Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan akan diserahkan kepada JIM selepas selesai menjalani hukuman untuk tindakan lanjut,” jelasnya.
Beliau menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melakukan jenayah atau mengganggu ketenteraman awam.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengetahui sebarang kegiatan jenayah di daerah berkenaan.