Penjawat awam berstatus kontrak direman tujuh hari, disyaki rogol remaja

TAWAU: Seorang lelaki berusia 23 tahun yang juga kakitangan kontrak pihak berkuasa tempatan (PBT) direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes disyaki merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di Bandar Sri Indah, di sini, Rabu lalu.

Perintah reman terhadap lelaki itu bermula 10 hingga 16 Oktober ini dikeluarkan Majistret Dayang Aidaku Amirah Aminuddin bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut.

Permohonan dikemukakan pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Inspektor Robiatul Adawiyah Japri.

Berdasarkan permohonan reman itu, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4 petang, 4 Oktober lalu, apabila mangsa dibawa lelaki berkenaan yang dikenalinya menerusi aplikasi Telegram dengan menaiki kereta Proton Saga berwarna kelabu ke kawasan belakang sebuah pasar raya di Bandar Sri Indah.

Mangsa dikatakan pertama kali bertemu lelaki itu ketika kejadian berkenaan berlaku.

Semasa berada di dalam kenderaan itu, lelaki terbabit disyaki melakukan perbuatan berkenaan terhadap mangsa tanpa kerelaannya.

Mangsa bagaimanapun hanya memaklumkan perkara itu kepada ibunya dua hari selepas kejadian sebelum dia dibawa ke balai polis untuk membuat laporan bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

Bertindak atas maklumat diterima, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menahan lelaki berkenaan kira-kira jam 9.30 malam tadi sebelum dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut.

Polis turut merampas telefon bimbit milik suspek serta kereta yang dipercayai digunakan ketika kejadian bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

-tamat-

Caption : Suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan. Foto | SS