KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 yang dibentangkan hari ini menyaksikan peruntukan Persekutuan untuk Sabah dan Sarawak kekal tertinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan belanjawan bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” di Dewan Rakyat hari ini berkata, Sabah bakal menerima sejumlah RM18.7 bilion berbanding RM17.6 bilion tahun ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Sarawak pula menerima RM16.2 bilion berbanding RM15.1 bilion tahun ini.
Selain itu, Anwar memaklumkan projek jalan raya di Sabah dan Sarawak diteruskan menerusi peruntukan 2027 berjumlah RM3.3 bilion.
“Antaranya, SST (Surat Setuju Terima) Lebuhraya Trans Borneo bagi seksyen Miri telah dikeluarkan manakala seksyen Limbang dan Lawas dijangka pada hujung tahun ini.
“Sarawak-Sabah Link Road 1 dan Pan Borneo Sabah Fasa 1B pula disasar siap pada hujung tahun depan. Selain itu, sejumlah RM350 juta belanja penyelenggaraan Jalan Persekutuan dikhususkan kepada kontraktor G1-G4 di Sabah dan Sarawak,” kata beliau.
Selain itu, Anwar memaklumkan kerajaan bersetuju untuk menggandakan tawaran tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada anak kelahiran Sabah dan Sarawak.
“Ini bermakna, sebanyak 4,200 anak Sabah dan Sarawak mendapat peluang melanjutkan pengajian ke menara gading setiap tahun,” kata beliau.
Mengenai Zon Ekonomi Khas Sibu, Anwar berkata, Kerajaan Negeri Sarawak menzahirkan kesungguhan untuk membangunkannya dan Kerajaan Persekutuan akan memulakan rundingan rasmi bagi memuktamadkan kerangka insentif, pusat pemudah cara pelaburan sehenti serta keperluan infrastruktur strategik.
“Kerajaan juga bersetuju melaksanakan pemasangan Sistem Statcom di Pencawang Masuk Utama Dam Road dan Segaliud dengan kos RM204 juta.
“Sementara itu, projek Talian Penghantaran Southern Link diteruskan sebagai ikhtiar jangka panjang kelangsungan bekalan elektrik di Sabah,” kata beliau.
— BERNAMA